
KUALA LUMPUR, 29 Jun – Bekalan baja negara akan terus dipastikan mencukupi menerusi kerjasama strategik dengan negara pembekal termasuk Australia, di samping pemantauan berterusan terhadap pasaran tenaga global bagi mengurangkan kesan ketidaktentuan bekalan kepada rakyat dan ekonomi negara.
- Kenaikan kos baja dijangka 15 hingga 20 peratus; 63 peratus keperluan baja bergantung kepada import.
- Pasaran tenaga dijangka stabil berperingkat mulai suku ketiga, tetapi ketidaktentuan harga dan bekalan mungkin berlanjutan satu hingga dua tahun.
- Kerajaan akan terus memantau dan campur tangan untuk kurangkan kesan kepada rakyat, PMKS dan sektor industri sepanjang pemulihan.
- 27 daripada 120 keputusan MTEN dilaksana; baki 93 dalam pelbagai peringkat pelaksanaan untuk menangani krisis bekalan global.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, langkah itu diambil susulan unjuran kenaikan kos baja antara 15 hingga 20 peratus berikutan krisis bekalan global, dengan 63 peratus keperluan baja negara masih bergantung kepada sumber import.
Menurut beliau, pasaran tenaga dijangka kembali stabil secara berperingkat bermula suku ketiga tahun ini, namun ketidaktentuan harga dan bekalan tenaga dijangka terus mempengaruhi pasaran bagi tempoh satu hingga dua tahun akan datang.
Sehubungan itu, kerajaan akan meneruskan langkah pemantauan dan intervensi sepanjang tempoh pemulihan bagi mengurangkan kesan terhadap rakyat, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta sektor industri.
“Kerajaan memberi perhatian khusus kepada keterjaminan bekalan barangan keperluan, kawalan harga barangan asas dan peningkatan kecekapan saluran pengedaran.
“Keadaan ini akan terus dipantau kerana volatiliti harga minyak boleh memberi tekanan kepada kos operasi, logistik, inflasi dan akhirnya harga barangan yang ditanggung oleh rakyat.
“Sebab itu, kerajaan tidak melihat krisis ini sebagai isu mingguan atau sementara. Ia adalah risiko yang perlu diurus secara berterusan untuk beberapa bulan malah tahun akan datang, sambil negara membina daya tahan ekonomi jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penerangan mengenai krisis bekalan global di Dewan Rakyat.
Setakat ini, sebanyak 27 daripada 120 keputusan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah dilaksanakan, manakala baki 93 keputusan lagi kini berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan bagi menangani kesan krisis bekalan global.