Pindaan Akta 333 bawa cadangan 11 perkara, antaranya tingkat saman lumba haram

Foto arkib BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dijadual dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada Isnin ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperkenalkan hukuman bagi kesalahan lumba haram dan kegiatan tonto serta menaikkan kadar denda bagi kesalahan serius.
  • Melibatkan 11 skop dan 42 fasal; pindaan paling menyeluruh sejak pindaan 2020.
  • Pindaan kedua hujung tahun akan fokus mekanisme pampasan kepada mangsa kemalangan melibatkan pemandu mabuk, positif dadah atau pemanduan melulu.

Pindaan tersebut antara lain akan memperkenalkan hukuman bagi kesalahan lumba haram dan kegiatan tonto, selain menaikkan kadar denda bagi kesalahan serius.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke memberi taklimat khas media berhubung Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2025./ RTM

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pindaan Akta 333 itu akan dibentangkan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 minggu hadapan, membabitkan 11 skop merangkumi 42 fasal.

“Pindaan kali ini lebih menyeluruh dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini selepas kali terakhir akta berkenaan dipinda pada 2020.

“Ini adalah pindaan pertama yang akan dibawa tahun ini dan satu lagi pindaan dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen hujung tahun nanti.

“Pindaan kedua itu akan memberi fokus kepada cadangan mekanisme pampasan kepada mangsa kemalangan membabitkan pemandu mabuk, pemandu positif dadah atau pemanduan melulu bagi memastikan keadilan kepada mangsa,” katanya semasa taklimat khas media berhubung Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2025 di sini, hari ini.

Tambah beliau, cadangan pindaan itu juga sudah melalui proses penelitian Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang membabitkan wakil kerajaan dan pembangkang sebelum dimuktamadkan untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.