Keterjaminan tenaga dan makanan fokus Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN–Rusia

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama pemimpin yang menyertai Sidang Kemuncak Rusia-ASEAN kali ke-35 di Kazan, Rusia/ Foto FB/ PMO

KAZAN, 18 Jun – Keterjaminan tenaga dan makanan menjadi antara fokus utama yang diketengahkan pada Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di Kazan, Rusia hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Presiden Putin: hubungan ASEAN-Rusia 35 tahun berkembang merangkumi perdagangan, pelaburan, tenaga, pertanian, pendigitalan, sains, teknologi dan pelancongan.
  • Kedua pihak melancarkan platform dialog baharu dan memperluas kerjasama praktikal menangani cabaran keselamatan dan ancaman baharu.
  • Perdana Menteri Anwar sertai sesi pleno bersama pemimpin ASEAN dan Presiden Rusia bincang isu strategik dua hala.
  • Pengerusi ASEAN 2026 Marcos: perdagangan dan pelaburan berkembang tetapi belum capai potensi; tekankan keselamatan makanan dan tenaga, perkasakan PKS serta ekonomi baharu.

Pada pembukaan sesi pleno sidang kemuncak itu, Presiden Rusia Vladimir Putin berkata hubungan ASEAN-Rusia yang terjalin sejak 35 tahun lalu terus berkembang merangkumi pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, tenaga, pertanian, pendigitalan, sains dan teknologi serta pelancongan.

Beliau berkata, kedua-dua pihak turut melancarkan pelbagai platform dialog baharu dan memperluas kerjasama praktikal dalam menangani cabaran keselamatan serta ancaman baharu yang muncul.

Menurut beliau, perkongsian strategik ASEAN-Rusia terus menjadi faktor penstabil penting di rantau Asia Pasifik ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik semasa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyertai sesi pleno yang menghimpunkan pemimpin negara anggota ASEAN dan Presiden Rusia bagi membincangkan pelbagai isu strategik melibatkan kedua-dua pihak.

Sementara itu, Presiden Filipina yang juga Pengerusi ASEAN 2026, Ferdinand Marcos Jr. berkata hubungan perdagangan dan pelaburan ASEAN-Rusia terus berkembang, namun masih belum mencapai potensi sepenuhnya.

Beliau berkata, keselamatan makanan dan tenaga memerlukan perhatian khusus kerana kedua-duanya menjadi asas kepada kestabilan yang lebih meluas.

“Kedua, kerjasama ekonomi yang lebih dinamik perlu diperkukuh. Hubungan perdagangan dan pelaburan kita terus berkembang, namun masih belum mencapai potensi sepenuhnya. Keselamatan makanan dan tenaga memerlukan perhatian khusus kerana kedua-duanya merupakan asas kepada kestabilan yang lebih meluas”, katanya.

Marcos berkata ASEAN dan Rusia perlu lebih proaktif dalam memperluas peluang ekonomi, meningkatkan aliran pelaburan serta menghubungkan komuniti perniagaan kedua-dua pihak.

Beliau turut menekankan kepentingan memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta sektor ekonomi baharu menjadi sebahagian daripada kerjasama strategik ASEAN-Rusia pada masa hadapan.

Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia diadakan bersempena ulang tahun ke-35 hubungan dialog antara kedua-dua pihak yang bermula pada 1991.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.