
PUTRAJAYA, 4 Mei – Kerajaan sedang memperkemas Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan bidang geologi bagi memperkukuh tadbir urus, termasuk aspek penguatkuasaan, pemeriksaan serta penalti terhadap pelanggaran peraturan.
- Hanya individu berkelayakan dan berlesen dibenarkan terlibat dalam sektor geologi bagi mengurangkan risiko keselamatan awam.
- Penganjuran Hari Ahli Geologi julung kali mencerminkan pengiktirafan kerajaan terhadap martabat profesion ahli geologi.
- Ahli geologi penting untuk keselamatan projek pembangunan termasuk bangunan tinggi, cerun dan kawasan dikenalpasti berisiko.
- Garis panduan dan perundangan perlu dikemas kini selari teknologi seperti AI dan geo satelit untuk tingkatkan profesionalisme.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, langkah itu penting bagi memastikan hanya individu berkelayakan dan berlesen dibenarkan terlibat dalam sektor geologi, sekali gus mengurangkan risiko kepada keselamatan awam, khususnya dalam industri pembinaan.
“Penggunaan kepakaran tidak bertauliah boleh mengundang risiko besar. Justeru, kita perlu tegas dengan hanya membenarkan individu berkelayakan dan berlesen terlibat dalam sektor ini,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Ahli Geologi Peringkat Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.
Menurut Datuk Seri Arthur, penganjuran julung kali diadakan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam mengiktiraf dan mengangkat martabat profesion ahli geologi yang memainkan peranan penting dalam pelbagai sektor pembangunan negara.
Katanya, kepakaran ahli geologi amat diperlukan dalam memastikan keselamatan projek pembangunan, termasuk pembinaan bangunan tinggi, cerun serta kawasan berisiko yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’.
“Ahli geologi menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara, termasuk dalam membuat persediaan menghadapi bencana. Oleh itu, kita mahu memastikan bidang ini terus diperkasa dan diberi pengiktirafan sewajarnya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata bidang geologi kini turut mengalami transformasi selari dengan kemajuan teknologi semasa, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi geo-satelit.
Sehubungan itu, beliau menegaskan garis panduan serta perundangan sedia ada perlu dikemas kini agar selaras dengan perkembangan teknologi, sekali gus meningkatkan kecekapan dan profesionalisme dalam kalangan ahli geologi negara.