KDN mahu pembinaan RSS Pulau Malawali disegerakan

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 4 Mei – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mahu pembinaan Remote Sensor Site (RSS) atau Tapak Sensor Jarak Jauh di Pulau Malawali disegerakan untuk meningkatkan keupayaan negara mengesan ancaman di kawasan perairan, khususnya di pantai timur Sabah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menghapuskan titik buta di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) dan memperkukuh kedaulatan sempadan negara.
  • Integrasi aset canggih merevolusi sistem pemantauan, membolehkan ancaman dikesan dan dianalisis dengan ketepatan tinggi sebelum tindakan taktikal.
  • Kerajaan memperuntuk RM88 juta bagi pembinaan RSS, diluluskan dalam pelan pusingan pertama Rancangan Malaysia Ke-13.
  • Keselamatan sempadan menjadi keutamaan; autogate KLIA, integrasi RTS Johor dan pelaksanaan MyNIISe September dipertingkatkan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia bagi mengahapuskan ‘titik buta’ di kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) selain memperkukuh kedaulatan sempadan negara.

“Integrasi aset canggih ini bakal merevolusi sistem pemantauan negara,membolehkan setiap ancaman dikesan dan dianalisis dengan ketepatan tinggi sebelum tindakan taktikal diambil.

“Langkah proaktif ini menjadi benteng utama dalam membanteras sebarang bentuk pencerobohan, sekaligus memastikan keselamatan rakyat dan kedaulatan negara kekal utuh daripada sebarang ancaman luar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan kerajaan telah memperuntukkan RM88 juta bagi membina RSS berkenaan yang diluluskan dalam pelan pusingan pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga terus meletakkan keutamaan keselamatan sempadan perairan sebagai langkah proaktif mendepani ketidaktentuan geopolitik global.

Datuk Seri Saifuddin Nasution menegaskan keselamatan sempadan negara tidak boleh dikompromi; sebarang cubaan membolosi sempadan atau melanggar undang-undang perlu ditangani dengan tindakan yang jelas, tegas dan berkesan.

Dalam perkembangan berkaitan, sistem pemeriksaan dan pelepasan pelawat di pintu masuk negara juga sedang dipertingkat termasuk pelaksanaan sistem autogate di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta integrasi sistem di laluan Rapid Transit System (RTS) Johor.

“Penekanan KDN kepada kecekapan pintu masuk negara melalui sistem yang lancar dan bersepadu, khusus melibatkan pergerakan orang dan barangan.

“Sehubungan itu, semua perancangan yang dirangka perlu dilaksana mengikut peranan masing-masing bagi memastikan keseimbangan antara keselamatan negara dan kelancaran mobiliti dapat dicapai secara optimum,” katanya lagi.

Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) akan dilaksanakan sepenuhnya September ini seiring peningkatan ciri keselamatan MyKad Jun ini, dalam usaha memperkukuh sistem identiti negara serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Perkara itu akan menjadi detik penting bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam memperkemas pengurusan identiti negara serta memastikan pergerakan rakyat dapat dilaksanakan secara lebih lancar dan teratur.

Dokumen baharu itu melibatkan kad pengenalan dan pasport yang dilengkapi ciri keselamatan terkini, selaras dengan keperluan semasa dan cabaran keselamatan yang semakin kompleks.