SEPANG, 11 November - Sebanyak RM725.7 juta diperuntuk bagi melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di kawasan Dengkil hingga Labohan Dagang.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata projek yang akan dilaksana di Sungai Langat Fasa Satu dan Dua itu akan memberi manfaat kepada 120,000 penduduk di kawasan terjejas.
"RTB Sungai Langat Fasa Satu sedang dalam proses pengambilan tanah dan dijangka siap pada 2027 manakala RTB Sungai Langat Fasa Dua dijangka bermula pada Januari 2024 dan akan siap sepenuhnya menjelang 2030.
"Ini adalah projek di bawah Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi (TBBT) yang berjumlah RM11.8 billion yang diumumkan oleh Perdana Menteri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan kerja ke beberapa kawasan yang terkesan banjir serta Pintu Air Sungai Semarang, di sini.
Banjir yang berlaku di Jalan Utama Taman Suria Warisan dan Persimpangan FT29/FT32 pada 5 November lalu berpunca akibat takungan air kelodak dari kawasan pembangunan, menyebabkan berlaku limpahan dari Sungai Kelinsing.
Dalam perkembangan sama, Nik Nazmi berkata projek naik taraf ban Sungai Parit Tampoi akan disiapkan di bawah projek RTB melalui peruntukan kerajaan Selangor bernilai RM9 juta dan dijangka siap sepenuhnya Jun 2025.