
KUALA LUMPUR, 25 Januari – Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 disifatkan sebagai satu pelan pendidikan yang menyeluruh dan progresif.
- RPN 2026–2035 merangkumi anjakan penuh sistem pendidikan, bukan sekadar penambahbaikan struktur sedia ada.
- Menekankan penambahan guru dan kemudahan pembelajaran untuk memastikan kualiti pendidikan lebih baik dalam 10 tahun akan datang.
- Memberi penekanan terhadap intervensi awal bagi membentuk asas pembelajaran murid dan memastikan kesaksamaan peluang.
Ia mencerminkan komitmen kerajaan mengangkat keperluan serta desakan rakyat demi mempertingkat kualiti pendidikan negara.
Jelas Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia UKM, Dr Anuar Ahmad, RPN 2026 – 2035 bukan sekadar menambah baik struktur sedia ada, sebaliknya merangkumi anjakan penuh sistem pendidikan negara.
“RPN dapat memastikan guru-guru dan kemudahan pembelajaran ditambah untuk tempoh 10 tahun akan datang.
“Jadi secara umumnya, rancangan pendidikan negara jelas digunakan sebagai asas untuk bergerak ke hadapan di dalam merancang, melaksana dan memastikan kualiti pendidikan negara kita semakin baik dan setanding dengan negara-negara maju,” katanya ketika dihubungi RTM.
Tambahnya, pelan itu juga bukti kesungguhan kerajaan memberi penekanan terhadap intervensi awal dalam pembentukan asas pembelajaran murid.
Selasa lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035.
Ia sebagai langkah reformasi pendidikan bagi membina masa depan generasi muda yang lebih adil, berdaya saing dan berteraskan nilai.