Silibus Tabika, Tadika Kemas diselaras untuk kanak-kanak 3 dan 4 tahun

Datuk Seri Ahmad Zahid ketika merasmikan pecah tanah syarikat QL Inno Food Parks Bagan Datuk di sini. Foto/Bernama

BAGAN DATUK, 25 Januari – Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan terus mendidik kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun selaras dengan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035.

RINGKASAN BERITA AI
  • Silibus Tabika dan Tadika Kemas akan diselaras untuk kanak-kanak berumur tiga dan empat tahun selaras Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035.
  • Kemas akan menyesuaikan kurikulum sedia ada agar kesinambungan ke prasekolah umur lima tahun di bawah Kementerian Pendidikan terjamin.
  • Langkah penyelarasan menyokong pelaksanaan prasekolah wajib umur lima tahun dan perubahan pendaftaran Tahun Satu bermula 2027.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata silibus tabika dan tadika Kemas, termasuk tadika perpaduan akan diselaras dan diubah suai bagi memastikan kesinambungan ke kelas prasekolah untuk kanak-kanak lima tahun di bawah Kementerian Pendidikan.

“Mesyuarat Kabinet Jumaat lalu memutuskan prasekolah diselaraskan di bawah Kementerian Pendidikan, di mana kanak-kanak berumur lima tahun diwajibkan mengikuti kelas prasekolah di sekolah kebangsaan dan sekolah lain di bawah kementerian,” katanya kepada media selepas merasmikan pecah tanah syarikat QL Inno Food Parks Bagan Datuk di sini.

Beliau dalam pada itu menegaskan, Kemas akan meneruskan kelas sedia ada, dengan kurikulum yang disesuaikan mengikut acuan semasa, selaras langkah penyelarasan pendidikan prasekolah.

Pada 19 Januari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kanak-kanak berusia enam tahun boleh didaftarkan ke Tahun Satu mulai sesi persekolahan 2027, melalui pelancaran RPN 2026-2035. -Bernama