
KUANTAN, 25 Januari – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menyasarkan lantikan 30,000 penjawat awam tahun ini bagi memenuhi keperluan perkhidmatan serta menggantikan kekosongan jawatan susulan persaraan.
- SPA tingkat usaha mendekati belia dan pencari kerja menerusi program Kembara Kerjaya MADANI di Pahang.
- Program memberi pendedahan, maklumat tepat dan panduan permohonan jawatan dalam perkhidmatan awam.
- Termasuk temu duga terbuka serta fokus kepada OKU, Orang Asli dan jawatan jururawat.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata, sasaran itu meningkat berbanding 25,000 lantikan tahun lalu, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Sehingga pagi tadi, kehadiran di sini telah melebihi 700 orang dan dijangka mencecah 1,500 selain peningkatan di dua lokasi lain iaitu pusat temu duga dan perumahan kastam bagi ujian fizikal dan terbuka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau program Kembara Kerjaya MADANI SPA Kuantan, di sini hari ini.
Mengenai program berkenaan, beliau berkata penganjurannya di Pahang buat kali pertama merupakan sebahagian daripada usaha berterusan SPA mendekati golongan belia serta pencari kerja.
“Program ini diwujudkan bagi memastikan belia mendapat pendedahan dan maklumat tepat mengenai peluang kerjaya dalam perkhidmatan awam pada peringkat persekutuan mahupun negeri,” katanya.
Program itu dilaksanakan di tiga lokasi serentak, dengan sebuah hotel di sini sebagai lokasi utama yang memfokuskan perkhidmatan konsultasi, panduan permohonan jawatan serta sesi taklimat kerjaya oleh pegawai SPA dan agensi kerajaan.
Datuk Seri Ahmad Jailani berkata program turut melibatkan temu duga terbuka bagi kategori Orang Kurang Upaya (OKU), Orang Asli serta jawatan jururawat.