
ALOR GAJAH, 25 Januari -Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Melaka melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kesedaran terhadap kanser reproduktif dalam kalangan wanita, khususnya komuniti Orang Asli di negeri ini.
- Pelantikan duta etnik dalam komuniti Orang Asli untuk menyampaikan maklumat dan galakkan saringan kanser serviks.
- LPPKN menganjurkan program saringan di kawasan pedalaman bagi memudahkan wanita Orang Asli menjalani pemeriksaan.
- Sasaran 1,000 wanita disasarkan menjalani saringan kanser serviks tahun ini untuk tingkatkan kesedaran penyakit.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Nordin berkata, antara usaha yang dilaksanakan termasuk pelantikan duta etnik dalam kalangan komuniti berkenaan bagi menyampaikan maklumat berkaitan kanser serviks serta mempromosikan kepentingan saringan awal.
Menurut beliau, menerusi inisiatif tersebut, LPPKN akan turun ke kawasan pedalaman bagi menganjurkan program saringan kanser serviks kepada wanita di perkampungan Orang Asli di Melaka.
LPPKN turut turun ke kawasan pedalaman bagi menganjurkan program saringan kanser serviks kepada wanita di perkampungan Orang Asli di Melaka.
“Untuk memastikan wanita keluar menjalani pemeriksaan kanser serviks ini. Tidak ramai wanita yang mahu melakukannya, sampaikan kita pujuk mereka ini. Kesedaran itu sangat penting, supaya mereka tahu betapa bahanya penyakit ini,” katanya kepada media selepas Majlis Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks peringkat negeri Melaka di Kampung Orang Asli Bukit Payung, di sini.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah LPPKN Negeri Suszma Khairitszi Mamat.
Mengulas lanjut, LPPKN turut menyasarkan 1,000 wanita untuk menjalani saringan kanser serviks pada tahun ini, sekali gus meningkatkan kesedaran penyakit itu di Melaka.