
PUTRAJAYA, 27 Julai – Kementerian Ekonomi mengunjurkan perbelanjaan pembangunan (DE) bagi 2027 berjumlah kira-kira RM58 bilion, dengan sekurang-kurangnya 70 peratus daripada peruntukan dicadangkan untuk membiayai projek pembangunan asas.
- Unjuran perbelanjaan pembangunan 2027 masih awal dan akan dimuktamadkan sebelum dikemukakan kepada Kementerian Kewangan.
- Kementerian menekankan tumpuan peruntukan kepada projek pembangunan asas melalui formula dalaman untuk mengekalkan keutamaan itu.
- Peruntukan bagi 2026 meningkat berbanding 2025, mencerminkan komitmen kerajaan memperkukuh pelaksanaan projek pembangunan asas.
Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, unjuran tersebut masih di peringkat awal dan akan dimuktamadkan sebelum dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk pertimbangan.
“Ruang pembangunan asas itu perlu dipertahankan jadi formula di peringkat dalaman. Yang kita cuba kekalkan adalah supaya daripada keseluruhan DE itu, 70 peratus akan tertumpu kepada pembangunan asas,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi di sini, hari ini.
Untuk tahun 2026, sebanyak RM57.6 bilion atau 71 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan pembangunan diperuntukkan bagi projek pembangunan asas – meningkat berbanding RM55.67 bilion atau 65 peratus pada 2025.
Menurut laman sesawang MOF, peningkatan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh pelaksanaan projek pembangunan asas sebagai komponen utama perbelanjaan pembangunan negara.