Kerajaan tingkat infrastruktur LDA tarik pelaburan, pacu ekonomi

Datuk Mohd Shahar Abdullah/ RTM

KUALA LUMPUR, 27 Julai- Kerajaan terus mempergiat usaha meningkatkan akses kepada kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan di kawasan kurang membangun (Less Developed Area – LDA) bagi menarik lebih banyak pelaburan serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan pelaburan bersifat komersial; kerajaan akui faktor perniagaan mempengaruhi tarikan pelabur.
  • Kementerian memastikan pekerjaan berkualiti diisi warga tempatan dan pembangunan bakat tidak tertumpu hanya di Lembah Klang.
  • Kerajaan memperkukuh Akademi Dalam Industri untuk melatih kemahiran dan memenuhi keperluan pekerjaan berkemahiran tinggi.
  • Sejak 2023, hampir 55,000 bakat mendaftar, 633 syarikat terlibat dan hampir 14,000 peserta dalam program ADI.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata keputusan pelaburan merupakan pertimbangan komersial syarikat, justeru penyediaan infrastruktur dan perkhidmatan yang baik menjadi antara faktor penting dalam menarik pelabur ke kawasan LDA.

“Kita akan meningkatkan akses kepada kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan kerana keputusan pelaburan adalah keputusan komersial.

“Kalau kita mahu memastikan syarikat melabur di sesuatu kawasan LDA, kita mesti meningkatkan infrastruktur dan perkhidmatan, sebab itu kerajaan sedang melaksanakan perkara tersebut,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Michael Mujah Lihan mengenai langkah kementerian memastikan pekerjaan berkualiti tinggi dapat diisi rakyat tempatan berkelayakan, selain memastikan pembangunan bakat dan peluang pekerjaan bernilai tinggi tidak hanya tertumpu di Lembah Klang serta negara maju tertentu.

Dalam pada itu, Datuk Mohd Shahar berkata kerajaan turut memperkukuh program Akademi Dalam Industri (ADI) bagi memastikan rakyat tempatan memiliki kemahiran dan keupayaan yang diperlukan untuk mengisi pekerjaan dalam sektor berkemahiran tinggi.

Menurutnya, program itu menyediakan peluang kepada rakyat termasuk belia, suri rumah, ibu tunggal, penganggur, Orang Asli dan orang kurang upaya (OKU) mengikuti pembelajaran berasaskan industri (work-based learning).

Sejak diperkenalkan pada 2023, hampir 55,000 bakat tempatan telah mendaftar di bawah program ADI, manakala 633 syarikat terlibat dengan hampir 14,000 peserta sehingga kini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.