RM19.5 juta naik taraf jalan ladang pekebun kecil di Sarawak

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Huang Tiong Sii/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 9 Februari – Peruntukan RM19.5 juta diluluskan bagi pembinaan dan naik taraf Jalan Ladang Pekebun Kecil (JLPK) di Sarawak sejak 2023 termasuk RM3 juta tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Langkah bertujuan kurangkan beban kos logistik pekebun kecil kelapa sawit di Sarawak.
  • MPOB beri insentif dan sokongan teknikal untuk bantu pekebun kecil capai pensijilan MSPO.
  • Kementerian bekerjasama dengan negeri untuk sahkan hak milik tanah adat dan mudahkan proses pensijilan.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata langkah itu bertujuan mengurangkan beban kos logistik yang dihadapi pekebun kecil kelapa sawit di negeri berkenaan.

Beliau berkata bantuan khas turut disalurkan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam bentuk insentif dan sokongan teknikal bagi membantu pekebun kecil memperoleh Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

“Bantuan ini merangkumi bimbingan pematuhan serta kos pensijilan. Walau bagaimanapun, pemberian bantuan tersebut tidak melibatkan sebarang pelonggaran terhadap syarat dan standard pensijilan MSPO yang ditetapkan dan semua pemegang sijil kekal tertakluk kepada keperluan pematuhan sepenuhnya,” katanya.

Menurut beliau, kegagalan memperoleh pensijilan MSPO lazimnya berpunca daripada isu status tanah.

Sehubungan itu, kementerian bersama MPOB dan MSPO akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi pengesahan hak milik tanah adat Bumiputera (NCR) serta pelaksanaan langkah pemudah cara bersesuaian.

Datuk Seri Huang menjawab soalan Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta di Dewan Rakyat berhubung langkah mitigasi membantu pekebun kecil di kawasan pedalaman yang berdepan kos logistik tinggi termasuk subsidi pengangkutan dan bantuan pensijilan MSPO.