Tiada cadangan laksana projek ART di Putrajaya

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 9 Februari – Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan projek Transit Aliran Autonomi (ART) di Putrajaya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan tidak akan melaksanakan projek ART di Putrajaya selepas kajian awal menunjukkan kos pelaksanaan terlalu tinggi.
  • Anggaran kos RM211.95 juta bagi 10 tahun dianggap di luar kemampuan kewangan Perbadanan Putrajaya.
  • PPj terbuka mempertimbangkan perancangan pengangkutan awam pada masa depan sesuai kemampuan dan kelulusan peruntukan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui berkata keputusan tersebut berdasarkan hasil kajian awal projek perintis pada 2024 yang mendapati anggaran kos pelaksanaan ART sangat tinggi iaitu RM211.95 juta untuk tempoh 10 tahun.

“Kos ini adalah luar kemampuan kewangan Perbadanan Putrajaya (PPj) sebagai Pihak Berkuasa Tempatan. Atas dasar tersebut, PPj tidak meneruskan cadangan pelaksanaan ART di Putrajaya serta tiada cadangan untuk peluasan jajaran fasa seterusnya,” katanya di Dewan Rakyat di sini.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berhubung status terkini dan tarikh rasmi pengoperasian ART serta perincian pelan jajaran fasa seterusnya bagi mengurangkan kesesakan trafik di pusat pentadbiran negara.

Bagaimanapun, PPj katanya sentiasa terbuka untuk mempertimbangkan keperluan perancangan pengangkutan awam pada masa hadapan tertakluk kemampuan kewangan dan kelulusan peruntukan.

Sementara itu, bagi mengurangkan kesesakan trafik di Putrajaya, beliau memaklumkan PPj telah melaksanakan langkah-langkah penambahbaikan termasuk pengoperasian Bas Nadiputra di tujuh laluan setiap hari, kekerapan perjalanan pada waktu puncak, pengurusan trafik serta integrasi pengangkutan awam terkini.