RM1.2 juta baik pulih, bina rumah baharu Orang Asli Kelantan dan Terengganu

Foto RTM

GUA MUSANG, 10 Ogos – Sebanyak RM1.2 juta diperuntukkan tahun ini bagi kerja baik pulih dan pembinaan rumah baharu untuk masyarakat Orang Asli di Kelantan dan Terengganu.

RINGKASAN BERITA AI
  • RM500,000 diperuntukkan untuk membaik pulih 25 rumah, merangkumi bumbung, dinding, tingkap dan pintu mengikut skop JAKOA.
  • RM711,000 diperuntukkan untuk pembinaan sembilan rumah baharu bagi keluarga Orang Asli yang memerlukan kediaman lebih selesa.
  • Pemilik perlu memohon melalui penghulu atau Tok Batin dengan surat; penduduk sambut baik, harap bantuan diperluas kepada rumah buluh dan jalan.

Daripada jumlah itu, RM500,000 diperuntukkan bagi membaik pulih 25 rumah, manakala RM711,000 lagi untuk pembinaan sembilan rumah baharu.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan dan Terengganu, Mohd Faedzyal Mohamed berkata, kerja baik pulih meliputi kerosakan bumbung, dinding, tingkap dan pintu mengikut skop yang ditetapkan.

“Untuk permohonan baik pulih, pemilik rumah atau ketua isi rumah perlu memaklumkan kepada penghulu atau Tok Batin melalui surat sebelum dipanjangkan kepada pihak JAKOA.

“Rata-rata kerosakan melibatkan bumbung, dinding, tingkap dan lain-lain dalam skop baik pulih,” katanya.

Sementara itu, masyarakat Orang Asli di Gua Musang menyambut baik bantuan berkenaan yang disifatkan dapat meningkatkan keselesaan dan keselamatan keluarga.

Penduduk, Roslan Along berharap bantuan itu dapat diperluaskan kepada lebih banyak keluarga yang masih mendiami rumah buluh.

“Sebelum ini dari atas sampai ke bawah kampung seberang masih ada yang tinggal di rumah buluh.

“Kita harap selepas ini bantuan dapat diperluaskan hingga ke bawah pula,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Jati Roslan turut berharap lebih banyak rumah baharu dibina, khususnya untuk keluarga yang masih belum memiliki kediaman lebih selesa.

“Kita harap mana yang belum ada rumah itu dapatlah. Masih ada yang duduk dalam rumah buluh dan kita harap mereka dapat bantuan kerajaan.

“Kita nak kemudahan rumah dan jalan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.