fb fb fb fb fb

Ritual agama melaungkan azan bukan di Malaysia - SKMM

(Tangkap layar video yang ditularkan di negara ini/TikTok @michulathe)

KUALA LUMPUR, 15 Januari- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesan sebuah video tular berdurasi 2:27 minit yang memaparkan seorang lelaki melaungkan azan dipercayai dalam satu ritual keagamaan.

SKMM menerusi satu kenyataan hari ini mengesahkan video berkenaan bukan berasal dari Malaysia.

"Hasil semakan yang dibuat ke atas video itu mendapati bahawa ianya berasal dari luar negara dan ditular semula seolah-olah ianya berlaku di Malaysia," jelas kenyataan itu.

Jelas SKMM, video tular tersebut dilihat sebagai satu kandungan yang mengancam yang boleh mengundang ketegangan antara masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak menyebarkan kandungan berkenaan kerana dikhuatiri boleh menggambarkan konteks tidak tepat, selain boleh digunakan oleh individu atau pihak tidak bertanggungjawab dalam melakukan provokasi antara agama di Malaysia.

"Orang ramai juga diminta untuk tidak menokok tambah kapsyen yang bersifat spekulatif dan provokatif serta diminta untuk menyalurkan atau melaporkannya kepada pihak berkuasa untuk perhatian dan tindakan selanjutnya," jelasnya.

Tambahnya, penyebaran kandungan berbaur provokasi dengan niat menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, kebencian dan prejudis terhadap mana-mana kaum atau agama adalah menjadi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574), yang boleh dikenakan hukuman denda atau penjara, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Orang ramai juga diingatkan untuk sentiasa cakna, berhati-hati dan elakkan daripada memuat naik sebarang kandungan yang boleh menyentuh sensitiviti agama demi keharmonian dalam negara," jelasnya.

(TikTok @michulathe)

Media Baharu