KOTA KINABALU, 1 Julai - Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) yang memfokus kepada penggunaan kemudahan e-dompet dalam urusan transaksi pembelian, dilihat memperkasakan pembangunan sektor peruncitan melalui pendigitalan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata insiatif itu sekali gus mewujudkan ekosistem masyarakat tanpa tunai di seluruh negara, khususnya kawasan luar bandar.
"Melalui program ini kita akan menggalakkan dan mempromosikan supaya para peniaga menggunakan transaksi tanpa tunai sekali gus meningkatkan pembudayaan masyarakat tanpa tunai.
"Transaksi tanpa tunai ini banyak faedahnya termasuk mempermudahkan urusan dari segi kira-kira mereka sendiri, dari segi data-data yang perlukan, transaksi itu direkodkan," katanya kepada pemberita.
KPDN telah membantu seramai 22,368 peniaga untuk mendaftar dengan e-dompet, sejak dilancarkan pada Ogos 2022 hingga 31 Mei lalu.
Jumlah itu melebihi sasaran 100 peratus, iaitu 15,000 peniaga berdaftar menjelang 2025 seperti ditetapkan bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).