
KUALA LUMPUR, 18 April – Ketua Pengarah dan seorang pegawai kanan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) yang terlibat dalam siasatan penyelewengan dana berjumlah RM900,000 akan didakwa di mahkamah, minggu depan.
- SPRM memulihkan lebih 70% aset 1MDB: RM30 bilion daripada RM42 bilion, kadar tertinggi dunia berbanding purata global bawah 30%.
- Kerajaan melalui SPRM berjaya membawa pulang empat karya seni bernilai hampir RM800,000.
- Usaha sedang dijalankan untuk mengembalikan tujuh lagi karya seni dari rumah lelong Christie’s di Amerika Syarikat.
- Tindakan siasatan lain sedang berjalan, termasuk kes melibatkan e-waste dan sisa plastik.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata pertuduhan terhadap kedua-dua individu berkenaan dijangka dibuat pada Rabu atau Khamis depan.
“Selain itu, tindakan terhadap kes-kes lain turut sedang dijalankan, termasuk siasatan melibatkan e-waste dan sisa plastik,” katanya ketika berucap pada Anugerah Media SPRM kali ke-6 2026, malam tadi.
Dalam pada itu, Tan Sri Azam turut memaklumkan SPRM berjaya memulihkan lebih 70 peratus daripada aset 1Malaysia Development Bhd (1MDB) iaitu RM30 bilion daripada RM42 bilion.
Beliau berkata, ia merupakan kadar tertinggi di dunia berbanding purata global kurang daripada 30 peratus.
Katanya, kerajaan menerusi SPRM berjaya membawa pulang empat karya seni bernilai hampir RM800,000 yang dibeli dengan dana 1MDB yang telah diselewengkan.
Selain itu, tujuh lagi karya seni yang disimpan di rumah lelong barangan mewah Christie’s sedang diusahakan untuk dikembalikan dari Amerika Syarikat.