Rakyat perlu bersatu hati, berfikiran rasional hadapi krisis tenaga dunia – Zulkifli

Grafik REUTERS

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Rakyat perlu terus bersatu hati, berfikiran rasional dan mengutamakan kemaslahatan umum dalam mendepani krisis tenaga dunia yang mencabar ketika ini susulan konflik di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Terima pengumuman Perdana Menteri dengan penuh keinsafan dan sokongan terhadap langkah menangani krisis tenaga.
  • Rakyat bertindak rasional, banyak yang mendoakan dan memberi sokongan; pujian antarabangsa kepada pendekatan Malaysia.
  • Malaysia masih mempunyai kelebihan termasuk subsidi tenaga yang membantu negara menghadapi tekanan bekalan global.
  • Kerajaan selaraskan BUDI95 kepada 200 liter sebulan mulai 1 April 2026, harga RON95 bersubsidi kekal RM1.99, langkah sementara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung langkah terkini bagi menangani krisis tenaga itu wajar diterima dengan penuh keinsafan.

“Alhamdulillah, pemerhatian saya mendapati ramai yang rasional dan memahami situasi semasa, tidak kurang juga yang mendoakan dan memberikan sokongan pada waktu sukar ini. Sahabat luar negara juga menyatakan kekaguman mereka terhadap pendekatan Malaysia menangani krisis ini dengan begitu baik.

“Dibandingkan dengan negara lain, Alhamdulillah Malaysia masih menikmati pelbagai kelebihan termasuk subsidi tenaga,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Anwar dalam perutusan khas hari ini mengumumkan kerajaan akan melaksanakan penyelarasan sementara kelayakan Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026 susulan konflik di Asia Barat.

Beliau bagaimanapun menegaskan harga RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter.

Perdana Menteri juga berharap agar rakyat memahami langkah penyelarasan sementara kelayakan tersebut dan menjelaskan bahawa ia bersifat sementara sehingga pasaran, bekalan minyak serta ekonomi dunia kembali stabil – BERNAMA