fb fb fb fb fb

Rakyat Pahang akan sambut kepulangan Agong, Raja Permaisuri 30 Januari ini

FOTO FB Istana Negara

KUANTAN, 25 Januari- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan berangkat pulang ke Pahang pada 30 Januari ini.

Sehubungan itu, rakyat negeri terbabit diseru untuk turun beramai-ramai ke beberapa lapangan bagi menzahirkan rasa rindu terhadap baginda berdua.

Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Istiadat dan Pengurusan Majlis, Sharifful Hakim Suman berkata, sambutan tersebut bermula pada pukul 10.00 pagi dan melibatkan beberapa laluan khas bermula di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Bermula dari pangkalan udara TUDM, susur jalannya terus ke Taman Tas ke Sungai Isap dan menghala ke Kompleks Teruntum, laluan bandar tu sampai ke Pejabat Pos kemudian ke Jalan Teluk Sisek sehingga ke Dewan Jubli.

"Jadi sepanjang laluan itu tidak ada masalah. Ramai-ramai boleh berkumpul di situ, cuma kita minta patuhi arahan keselamatan, itu sahaja," katanya di sini.

Lebih 15,000 rakyat dijangka memenuhi laluan dan mereka yang terawal akan diberi bendera Pahang untuk kibaran sambutan berkenaan.

Beberapa jalan turut akan ditutup antaranya laluan dari Kompleks Teruntum menghala Jalan Merdeka bagi perarakan berkuda, laluan menghala Dewan Jubli Perak, susur Jalan Gambut dan laluan lampu isyarat Tanjung Lumpur.

Bagaimanapun, laluan alternatif dan lencongan disediakan bagi memudahkan pengguna jalan raya.

Sharifful Hakim ditemui pemberita selepas Temu Bual Ekslusif Istiadat Keberangkatan Balik Sempena Tamat Tempoh Pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke 16 Tahun 2024 di konti Pahangfm di sini.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang (Pengurusan), Datuk Dr Mohd Zakari Ibrahim.

SITI AISHAH BINTI MD ISA