Rakyat harap kerajaan baharu Johor tunaikan manifesto, utamakan kebajikan dan perpaduan

Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 13 Julai – Mandat besar yang diberikan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 disifatkan hadir bersama harapan tinggi agar kerajaan negeri yang baharu mampu mentadbir secara berkesan, inklusif serta mengutamakan kebajikan rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan perlu menunaikan manifesto yang dijanjikan demi kebajikan dan kepentingan seluruh rakyat Johor.
  • Perkukuh pembangunan ekonomi negeri serta pastikan manfaat dinikmati semua kaum tanpa mengira latar belakang.
  • Utamakan bantuan untuk belia termasuk biasiswa, komputer riba dan bantuan pendaftaran pelajaran tinggi.
  • Junjung perpaduan; semua pihak diminta mengenepikan perbezaan politik dan tidak menggunakan sentimen perkauman.

Tinjauan RTM mendapati rata-rata pengundi berharap kerajaan yang diberi kepercayaan dapat menunaikan segala manifesto yang dijanjikan, memperkukuh pembangunan ekonomi negeri serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, latar belakang mahupun fahaman politik.

Seorang pengundi, Rozi Abdul Ghani, berkata kerajaan negeri perlu melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya demi kepentingan seluruh rakyat Johor.

“Saya mengharapkan kerajaan yang telah diberi mandat dapat menjalankan tanggungjawab yang terbaik untuk rakyat tanpa mengira kaum, keturunan dan fahaman politik. Sebagai rakyat Johor, saya sentiasa menyokong dasar-dasar yang dapat membantu memajukan negeri dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Bagi pelajar, Ashraf Zaiham, beliau berharap kerajaan membuat keputusan yang bijaksana, khususnya dalam menyediakan lebih banyak bantuan kepada golongan belia.

“Saya berharap kerajaan dapat meneruskan bantuan kepada pelajar seperti biasiswa, bantuan komputer riba dan bantuan pendaftaran untuk melanjutkan pelajaran,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengundi, Nor Syazwani Paiman, berharap kerajaan dapat melaksanakan segala manifesto yang dijanjikan tanpa memainkan sentimen perkauman.

“Saya mengharapkan kerajaan yang diberi mandat dapat menunaikan manifesto demi kepentingan rakyat tanpa isu perkauman,” katanya.

Bagi penjawat awam, Muhamad Faiz Zakaria, beliau berharap semua pihak dapat mengenepikan perbezaan politik dan bersama-sama membangunkan negeri.

“Kepada yang menang, jalankan amanah dengan sebaiknya. Selepas pilihan raya ini, kita harap semua pihak dapat bergerak bersama-sama memajukan Johor,” katanya.

Pada PRN Johor ke-16, BN memperoleh kemenangan besar apabila memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, manakala baki lapan kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH).

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 1,874,918 pengundi, atau 68.73 peratus daripada keseluruhan pengundi berdaftar, telah menunaikan tanggungjawab masing-masing pada pilihan raya berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.