Rakyat diseru pelihara keharmonian, elak isu sensitif jejas perpaduan

Foto hiasan / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Mac– Rakyat Malaysia diseru agar terus memelihara keharmonian dan semangat kebersamaan yang menjadi tunjang kekuatan negara khususnya ketika dunia berdepan pelbagai cabaran yang berpotensi menggugat perpaduan masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jangan biarkan isu sensitif berkaitan agama, kaum, institusi diraja atau sentimen rasisme meretakkan hubungan antara masyarakat.
  • Ruang dialog dan meja rundingan sentiasa tersedia; manfaatkan dengan kebijaksanaan dan kematangan, bukan emosi.
  • Hargai kepelbagaian, tolak kebencian dan terus bersama menjaga negara sebagai rumah untuk diwarisi generasi akan datang.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata rakyat tidak seharusnya membiarkan isu sensitif berkaitan agama, kaum dan institusi diraja termasuk sentimen rasisme meretakkan hubungan yang telah dibina sejak sekian lama.

Beliau berkata sekiranya wujud perbezaan pandangan, ruang dialog dan meja rundingan sentiasa tersedia kepada semua pihak namun ia perlu dimanfaatkan dengan kebijaksanaan serta kematangan, bukan dengan emosi.

“Malaysia berdiri teguh kerana kepelbagaian rakyatnya. Kita lebih kuat bila kita bersama. Bersama untuk saling memahami, bersama untuk menghormati, bersama untuk menerima dan bersama untuk meraikan perbezaan yang menjadikan negara ini unik dan istimewa.

“Marilah kita memilih jalan kebijaksanaan, menolak kebencian dan terus memelihara semangat kebersamaan. Kerana Malaysia adalah rumah kita bersama yang kita bina, jaga dan wariskan kepada generasi akan datang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.- BERNAMA