TUMPAT, 3 Disember- Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid berkenan menyantuni penduduk terjejas banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Pohon Tanjung, Tumpat, hari ini.
Baginda berangkat ke PPS tersebut yang menempatkan 225 individu daripada 63 keluarga.
Ketibaan baginda diiringi Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Zaini Hussin dan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Aswafaizole Abdul Wahab.
Dalam lawatan itu, baginda turut mengurniakan bakul makanan dan sumbangan wang tunai kepada setiap keluarga di PPS tersebut.
Baginda meluangkan masa kira-kira 20 minit bertanya khabar mereka yang tinggal di PPS tersebut.
Terdahulu, baginda turut diberi taklimat oleh Pegawai Kebajikan Masyarakat Jajahan Tumpat, Fathiah Ibrahim berkenaan situasi di PPS.