fb fb fb fb fb

Pulau Pinang catat kadar kesuburan paling rendah, LPPKN laksana program advokasi

Gambar hiasan

KEPALA BATAS, 25 Jun - Pulau Pinang mencatat kadar kesuburan keseluruhan paling rendah di Malaysia, iaitu hanya 1.3 anak bagi setiap pasangan pada tahun lalu, namun meningkat berbanding tahun sebelumnya iaitu 1.2 anak.

Menurut Pengarah LPPKN Pulau Pinang, Dr. Azura Abdullah, meskipun begitu, pelbagai program dan advokasi telah dilaksanakan bagi membuka ruang perbincangan, memperkukuh institusi keluarga seterusnya meningkatkan kadar kesuburan.

"Kalau tiada usaha intervensi, kita akan berdepan masalah penuaan penduduk dalam jangka masa panjang. Dan untuk tahun ni kita ada bantuan yang dinamakan sebagai Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI).

Jika pasangan datang ke klinik kita, memang kita akan melakukan pemeriksaan terhadap kedua-duanya termasuk ujian air mani untuk lelaki dan ujian darah untuk wanita. Kita juga akan hantar wanita untuk pemeriksaan lain juga," jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Kesejahteraan Lelaki sempena Sambutan Hari Bapa 2025 Peringkat Negeri di Pusat Keluarga LPPKN di sini, hari ini.

Program berkenaan memberi ruang kepada kaum lelaki mendapatkan maklumat tepat berkaitan kesihatan mental dan fizikal, termasuk peluang menjalani saringan kesuburan.

Pulau Pinang antara negeri mendapat manfaat program BuAI dengan kerajaan akan membiayai dua kitaran rawatan permanian beradas (IUI) kepada pasangan yang layak secara percuma.

BuAI diperkenalkan dalam Belanjawan 2025 dengan peruntukan RM6 juta bagi pelaksanaan rawatan tersebut.

Rawatan itu disediakan di empat negeri iaitu Kuala Lumpur, Johor, Sarawak dan Pulau Pinang, lengkap dengan makmal ujian air mani, bilik prosedur IUI, dan ubat-ubatan berkaitan kesuburan.

Setakat ini Pusat Keluarga LPPKN Kepala Batas yang beroperasi sejak 2021 telah mencatat 53 kehamilan dan 21 kelahiran, manakala 16 pasangan sedang menjalani rawatan aktif ketika ini.

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM