fb fb fb fb fb

PSAS perkukuh kerjasama dengan UPSI

(FOTO RTM)

MUALLIM, 24 Mei-Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) menjadi rakan strategik baharu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam mengukuhkan kerjasama pelbagai bidang terutamanya pengkomersialan.

Pengarahnya, Mohd. Zulkefli Ibrahim berkata PSAS berhasrat dan beriltizam memacu kecemerlangan bersama UPSI yang dikenali sebagai sebuah universiti pendidikan tersohor dan memiliki sejarah penubuhan yang panjang.

Menurutnya lagi, antara fokus kerjasama tersebut melibatkan inovasi, robotik serta pengkomersialan selain menawarkan pelbagai kemudahan sukan dan penginapan.

“Kami sangat berminat untuk memberi tumpuan terhadap aspek berkenaan malah ia boleh menjana pendapatan untuk membantu PSAS sendiri.

“PSAS memiliki bengkel-bengkel teknologi seperti automotif dan mekanikal yang hebat dan boleh dimanfaatkan oleh pelajar-pelajar UPSI, malah bersedia membayarnya untuk membolehkan PSAS menjana pendapatan,” katanya ketika kunjungan hormat ke Universiti tersebut pada Isnin.

PSAS katanya turut berminat dan bersedia bekerjasama dengan UPSI dalam memperkasakan bidang Sains, Teknologi, Enginering dan Matematik (STEM) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff menganggap pertemuan hasil kunjungan hormat PSAS ke universiti berkenaan akan membuka lembaran baharu kepada aspirasi bagi melonjakkan kedua-dua insitusi pendidikan dan daerah Muallim.

"Usaha sama perlu dilakukan antara PSAS dan UPSI memandangkan keduanya mempunyai kelebihan yang boleh disatukan untuk merangka kerjasama yang lebih besar dalam melonjakkan daerah Mualllim.

Katanya lagi, UPSI juga bercadang menawarkan biasiswa kepada pelajar cemerlang PSAS dalam inovasi bagi melahirkan guru yang hebat, kreatif dan berinovatif di sekolah-sekolah dan kolej vokasional.


( Md Amin(kanan) menyampaikan cenderahatip kepada Mohd Zulkefli selepas
perbincangan dua hala sempena kunjungan hormat di Scholars Suites,
Kampus Sultan Azlan Shah)

Media Baharu