KUCHING, 2 Disember - Projek Kereta Api Trans-Borneo berjalan lancar dan kajian kebolehlaksanaannya diteruskan di bawah penyelarasan Kementerian Pengangkutan Malaysia dengan penglibatan aktif Kementerian Pengangkutan Sarawak dalam proses itu.
Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata laporan interim pertama telah dibentangkan pada 30 Oktober lepas, dan kajian kebolehlaksanaan itu dijangka siap pada Jun 2026.
“Sejak dimulakan pada Jun 2025, dua bengkel teknikal telah diadakan bersama-sama agensi berkaitan dari Sabah bagi meneliti penemuan awal dan memperkukuh penyelarasan perancangan.
”Satu jajaran awal kereta api juga telah dicadangkan dan akan terus diperhalusi sepanjang kajian dijalankan,” katanya ketika sesi penggulungan bagi kementerian itu pada sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak.
Projek Kereta Api Trans-Borneo, yang bakal menghubungkan Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan, dilihat sebagai satu inisiatif serantau bagi memperkukuh kesalinghubungan, menyokong integrasi ekonomi serta meningkatkan mobiliti di seluruh Kepulauan Borneo.