fb fb fb fb fb

Projek JKR, SSR menang anugerah 'World Summit On The Information Society'

Datuk Seri Ahmad Maslan berucap merasmikan Persidangan Pegawai Kanan JKR Malaysia Tahun 2024

KLANG, 27 Mei- 'Speed Sign with IoT Radar Sensor' (SSR), projek inovatif yang dibangunkan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR), mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila berjaya memenangi anugerah 'World Summit On The Information Society', anjuran International Telecommunication Union United Nations.

SSR yang dibangunkan dengan kerjasama syarikat teknologi tempatan, Vectolabs Technologies Sdn. Bhd dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), mengungguli kategori Infrastruktur Maklumat dan Komunikasi.

SSR menggunakan teknologi 'Internet of Things (IoT), Big Data Analytics' dan teknologi radar.

Algoritma radar yang dihasilkan dapat mengesan kelajuan sebenar, jenis kenderaan, serta bilangan kenderaan yang boleh diakses secara maya melalui laman web dan aplikasi mudah alih.

"Kita menghantar dua pegawai kita untuk menerima anugerah itu , tidak ada lagi di mana-mana ini inovasi Malaysia. Ini yang saya maksudkan kebitaraan inovasi. Tadi kita lancarkan sistem VAE versi 2.0 dan pada saat dan ketika ini, dua pegawai menuju ke Geneva, Switzerland. 

"Bitara ini tiada yang setanding. Apabila kita menerima anugerah daripada United Nations, itu menunjukkan tiada yang setanding. Kita yang ke hadapan daripada yang lain,"kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Pegawai Kanan JKR Malaysia Tahun 2024 serta melancarkan empat produk dan sistem JKR, di Klang, Selangor.

Beliau berharap kejayaan produk SSR di peringkat global dapat merintis lebih banyak usaha ke arah menginovasikan pelbagai aspek pengurusan dan perkhidmatan jabatan berkenaan pada masa akan datang.

Sehingga kini, SSR telah dipasang di tujuh lokasi di semenanjung Malaysia.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Datuk Seri Ahmad Maslan memperkenalkan 'Strategi 5K'; iaitu ke arah memantapkan tadbir urus serta perkhidmatan JKR di seluruh negara.

Beliau turut melancarkan sistem berbentuk dokumentasi secara dalam talian, dikenali sebagai Value At Entry (VAE).

VAE boleh menentusahkan daya maju projek, kesediaan sesuatu projek dari aspek penentuan pemantapan input,tapak, anggaran kos yang munasabah, dan strategi pelaksanaan projek.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE