
PETALING JAYA, 14 Mac – Kesedaran masyarakat terhadap kesihatan mental perlu terus diperkukuh kerana ia merupakan aspek penting dalam menangani peningkatan masalah kesihatan mental dalam kalangan rakyat.
- Memperkukuh kesedaran masyarakat untuk membina jaringan sokongan dan menghapus stigma melalui program pendidikan dan kempen 'Awak OK Tak?'.
- Sokongan komuniti seperti perbualan terbuka, rehat berkualiti dan kepedulian jiran, keluarga serta pemimpin setempat tingkatkan daya tahan mental.
- Akses khidmat kaunseling profesional berdaftar serta talian bantuan krisis 24 jam Talian Kasih 15999 penting untuk sokongan selamat dan beretika.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying, statistik daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan peningkatan ketara masalah kesihatan mental dalam masyarakat.
Dianggarkan hampir satu juta individu berumur 15 tahun ke atas mengalami masalah kemurungan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Kira-kira 4.6 peratus orang dewasa serta 16.5 peratus kanak-kanak dan remaja di negara ini turut berdepan cabaran kesihatan mental, termasuk tekanan emosi dan kemurungan.
“Kesedaran merupakan aspek penting dalam menangani isu kesihatan mental. Ia melibatkan kepekaan terhadap keadaan emosi diri sendiri, ahli keluarga, jiran dan rakan-rakan.
“Melalui kesedaran ini, masyarakat dapat membina jaringan sokongan serta membantu menghapuskan stigma terhadap isu kesihatan mental. Justeru, pelbagai program kesedaran terus dilaksanakan bagi meningkatkan pemahaman masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Minda Sihat, Komuniti Sejahtera di Desa Mentari, di sini.
Program yang dianjurkan dengan kerjasama Lembaga Kaunselor Malaysia dan Sunway University itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kesejahteraan mental.
Menurut Lim, kesejahteraan mental bukan hanya berkaitan rawatan perubatan, malah memerlukan sokongan komuniti dan akses kepada khidmat kaunseling profesional.
“Perkhidmatan kaunseling sangat penting bagi membantu individu mengurus tekanan emosi dan cabaran kehidupan. Lembaga Kaunselor Malaysia memastikan setiap kaunselor berdaftar memberikan perkhidmatan yang selamat, profesional dan beretika,” jelasnya.
Sehubungan itu, kementerian turut memperkenalkan kempen ‘Awak OK Tak?’ bagi meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental serta menghapuskan stigma masyarakat terhadap individu yang mendapatkan bantuan.
Orang ramai yang memerlukan bantuan boleh menghubungi talian bantuan krisis Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam sehari.
Sokongan emosi boleh bermula di peringkat komuniti melalui interaksi sosial yang lebih rapat antara jiran, keluarga dan rakan.
Program Minda Sihat, Komuniti Sejahtera yang membawa tema “Sembang. Rehat. Saling Jaga.” memberi penekanan kepada kepentingan berbual secara terbuka, mengambil masa berehat daripada tekanan hidup serta saling prihatin antara satu sama lain.
Lebih 100 pelajar dan pengurusan Sunway University turut terlibat dalam program berkenaan, selain kerjasama pemimpin komuniti Desa Mentari yang memainkan peranan penting dalam menggerakkan aktiviti kesejahteraan mental di kawasan tersebut.
Pendekatan berasaskan komuniti mampu membina masyarakat lebih empati, prihatin dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran kehidupan.
“Kesihatan mental bukan sekadar isu klinikal, tetapi juga isu kemanusiaan, kesejahteraan keluarga dan kekuatan komuniti,” katanya.