fb fb fb fb fb

Program eUsahawan, MDEC sasar lahir 30,000 usahawan mikro, pelajar IPT, TVET

Menteri Digital, Gobind Singh Deo ketika berucap merasmikan Karnival eUsahawan dan Gig 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 20 Februari - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyasarkan untuk melatih 30,000 usahawan mikro, pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) serta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) menerusi Program eUsahawan tahun ini.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata ia melibatkan sasaran jualan sebanyak RM35 juta.

Beliau berkata, sejak diwujudkan pada tahun 2015, seramai 563,543 usahawan di seluruh negara telah dilatih menerusi program itu dengan menjana jualan terkumpul melebihi RM1.24 bilion.

"Di bawah program eUsahwan, eUsahawan hab diperkenalkan untuk selesaikan cabaran bagi perusahaan kecil dan sederhana yang menghadapi kekurangan akses kepada pengetahuan dan bimbingan untuk membangunkan perniagaan mereka masing masing," katanya ketika berucap merasmikan Karnival eUsahawan dan Gig 2024, di sini.

Untuk program Global Online Workforce (GLOW) pula, Gobind berkata, MDEC menyasarkan untuk melatih seramai 5,000 pelajar IPT.

Beliau berkata, mereka akan dilengkapkan dengan kemahiran digital untuk mendapat peluang pekerjaan bernilai tinggi di platform pekerjaan gig serantau.

"Menerusi GLOW, MDEC telah membantu seramai 105,390 peserta dan menjana pendapatan sehingga RM282.76 juta sehingga akhir tahun lepas," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN