JOHOR BAHRU, 19 Oktober- Jabatan Imigresen Johor berjaya mengesan aktiviti pelacuran di sebuah premis refleksologi dan spa di Johor Bahru dalam sebuah operasi lewat malam semalam.
Seramai 16 individu berusia antara 22 hingga 40 tahun terdiri daripada lima wanita Thailand, tiga wanita Vietnam, dua wanita Indonesia, tiga lelaki Myanmar dan tiga lelaki tempatan, ditangkap.
Menurut Pengarah Jabatan Imigresen Johor Baharuddin Tahir, "siasatan awal mendapati kegiatan tidak bermoral itu aktif menerusi aplikasi whatsapp dan telegram bagi tujuan melanggan."
Premis sama juga pernah digempur dalam operasi sebelum ini.
Baharuddin berkata, "beberapa warga asing tersebut dipercayai memasuki negara menggunakan pas lawatan sosial selain ada yang kembali semula selepas diusir sebelum ini melalui jalan tidak diwartakan."
Sementara itu tiga lelaki tempatan bertindak sebagai penjaga dan kapten premis turut ditahan mengikut seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.
Kes turut disiasat mengikut seksyen 6(1)(c), 15(1)(c ) akta yang sama serta Peraturan 11(7)(a) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
(16 individu berusia antara 22 hingga 40 tahun ditahan terlibat aktiviti pelacuran)