PPDSA dan MyGDX langkah strategik perkukuh tadbir urus data kerajaan

TS. Nik Zalbiha Nik Mat

KUALA LUMPUR, 7 Februari- Polisi Pendigitalan Data Sektor Awam (PPDSA) dan peluasan platform Malaysian Government Central Data Exchange (MyGDX) yang bakal dilancarkan merupakan langkah strategik dalam memperkukuh tadbir urus data kerajaan dengan memastikan perkongsian maklumat yang selamat termasuk data peribadi dan data terperingkat.

RINGKASAN BERITA AI
  • PPDSA dan peluasan MyGDX memperkukuh tadbir urus data kerajaan dengan perkongsian maklumat yang selamat.
  • MyGDX wujudkan single data bersepadu, kurangkan pengisian maklumat berulang oleh rakyat.
  • Perkongsian data direka untuk boleh dijejak, dikawal sepenuhnya dan elak perkongsian berkelompok.
  • Agensi digesa digitalkan data, tingkat literasi digital dan kendalikan data dalam persekitaran terkawal.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Digital Negara, Kementerian Digital, TS. Nik Zalbiha Nik Mat, MyGDX meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan menggalakkan perkongsian data bersepadu antara agensi kerajaan.

“Ini merupakan satu kemudahan antara penyedia perkhidmatan kepada rakyat. Menerusi MyGDX, kita mewujudkan single data daripada pelbagai agensi, membolehkan kerajaan memberi perkhidmatan terbaik tanpa rakyat perlu mengisi maklumat berulang kali atau memuat naik dokumen sokongan yang sama,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, Kota Media di sini hari ini.

Nik Zalbiha berkata, MyGDX direka untuk memastikan perkongsian data selamat, boleh dijejak dan dikawal sepenuhnya.

“Kami tidak menggalakkan perkongsian data peribadi secara berkelompok kerana sukar untuk dikesan.

“Sekiranya berlaku kebocoran, tindakan susulan boleh dilaksanakan. Bukan sahaja data peribadi, tetapi semua data terperingkat kerajaan dikawal sepenuhnya,” katanya.

Penekanan turut diberikan agar semua agensi kerajaan mendigitalkan data masing-masing, meningkatkan literasi digital dalam kalangan penjawat awam dan memastikan data dikendalikan dalam persekitaran terkawal bagi mengelakkan kebocoran atau penyalahgunaan maklumat.

Majlis pelancaran PPDSA dan peluasan MyGDX dijadualkan berlangsung pada 10 Februari dengan tema Digital Automation through Technological Advancement (D.A.T.A.).

Setakat awal tahun ini, MyGDX mencatatkan penglibatan 81 agensi, termasuk 51 agensi pembekal data dan 23 agensi pengguna data, melibatkan 49 sistem yang telah berintegrasi serta merekodkan lebih 23 juta transaksi antara muka pengaturcaraan aplikasi (API).