
KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Setiap rakyat Malaysia berpeluang membina kemahiran, keyakinan serta keupayaan diperlukan seiring aspirasi Malaysia untuk menjadi Negara AI menjelang 2030.
- Portal Rakyat Digital menyatukan inisiatif digital dalam satu akaun, memperkasa pengetahuan, kemahiran dan alat digital untuk berkembang dalam ekonomi digital.
- Fokus kepada pembinaan bakat tempatan dan penyelesaian AI sendiri, dengan peranan kerajaan menyediakan dasar, infrastruktur, insentif dan akses pembelajaran.
- Pendekatan inklusif meliputi komuniti luar bandar, warga emas, belia, OKU dan PKS supaya tiada golongan terpinggir.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo memaklumkan selaras sasaran berkenaan, pelancaran portal Rakyat Digital baharu diyakini berupaya memastikan rakyat Malaysia bersedia dengan masa depan berteraskan kecerdasan buatan (AI).
“Kita sering kali menyebut AI dengan merujuk kepada infrastruktur, kita sebut berkenaan pusat data dan sebagainya. Itu semua memang penting, tetapi kita juga perlu memberi fokus kepada bagaimana untuk membina bakat agar dapat melihat Malaysia menghasilkan penyelesaian AI sendiri.
“Sehubungan dengan itu portal berkenaan bertujuan memperluas pengalaman pengguna dengan menyatukan pelbagai inisiatif digital dalam satu akaun tunggal, sekali gus memperkasa pengetahuan, kemahiran serta alat digital yang diperlukan untuk terus maju dalam ekonomi digital,”jelasnya selepas melancarkan portal Rakyat Digital, di sini.
Beliau turut mengakui pembangunan ekosistem AI Malaysia memerlukan kerjasama pelbagai pihak bersama-sama kerajaan.
“Kerajaan berperanan menyediakan dasar, infrastruktur, insentif dan akses pembelajaran, manakala industri perlu membuka ruang kepada bakat serta inovasi.
“Langkah inklusif itu bertujuan memastikan jangkauan merangkumi komuniti luar bandar, warga emas, belia, komuniti kurang upaya serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) agar tiada yang terpinggir,”jelasnya.
Sementara itu, Rakyat Digital merupakan Hab Pembelajaran Digital Malaysia yang menyatukan pelbagai inisiatif digital dalam satu akaun tunggal, sekali gus memperkasa rakyat dengan pengetahuan, kemahiran dan alat digital yang diperlukan untuk berkembang dalam ekonomi digital.