RCI Tabung Haji : DAP sokong penuh titah YDP Agong

Syahredzan Johan

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Parti DAP menyatakan sokongan penuh berhubung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim agar siasatan berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) dilaksanakan secara teliti dan menyeluruh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan mesti dijalankan secara teliti dan berasaskan undang-undang untuk menangani isu pengurusan Tabung Haji.
  • Mana-mana individu yang didapati bersalah berdasarkan bukti kukuh perlu dihadapkan ke muka pengadilan.
  • DAP komited menyokong inisiatif memperkukuh serta memulihkan kestabilan organisasi demi kepentingan jangka panjang pendeposit.

Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan menyifatkan proses siasatan yang teliti dan berasaskan undang-undang amat penting dalam menangani isu tersebut.

Beliau yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP menegaskan bahawa mana-mana individu yang didapati bersalah berdasarkan bukti kukuh perlu dihadapkan ke muka pengadilan mengikut saluran perundangan yang sah.

“DAP menjunjung dan menyokong penuh titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim tempoh hari supaya siasatan berhubung RCI TH ini dijalankan sehingga ke lubang cacing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Laporan RCI berhubung pengurusan Lembaga Tabung Haji di Dewan Rakyat, hari ini.

DAP juga menyatakan komitmen berterusan untuk menyokong pelbagai inisiatif kerajaan dalam memperkukuh dan mengembalikan kestabilan organisasi berkenaan demi kepentingan jangka panjang pendeposit.

“Kita mesti mengambil iktibar dan pengajaran daripada episod ini agar perkara sedemikian tidak berulang lagi. Ini penting supaya kita tidak lagi menyaksikan kerosakan yang pernah berlaku dalam Lembaga Tabung Haji. Tan Sri Yang di-Pertua, Bangi mohon menyokong,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.