Rakyat Digital diperkasa, lahir lebih ramai bakat AI tempatan

Foto FB Kementerian Digital

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Platform Rakyat Digital diperluas daripada inisiatif literasi digital kepada ekosistem pembelajaran digital yang lebih menyeluruh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rakyat Digital berteraskan 3A: Kesedaran, Akses dan Penerimagunaan untuk meluaskan akses kepada pengetahuan, kemahiran dan teknologi digital.
  • Pas Pembelajaran Global: akses percuma tiga bulan ke lebih 16,000 kursus Coursera; 25,000 peserta ditawarkan setiap tiga bulan.
  • 'AI Builders Hub' dilancar Oktober untuk eksperimen, pembangunan penyelesaian praktikal dan meningkatkan keupayaan rakyat mencipta dengan teknologi AI.
  • Sehingga 100,000 belia 18-30 diberi akses percuma peralatan AI selama tiga bulan setelah melengkapkan modul pembelajaran yang ditetapkan.

Ia termasuk pendidikan dan kemahiran kecerdasan buatan (AI), dalam usaha melahirkan lebih ramai bakat AI tempatan.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, peluasan berkenaan berteraskan tiga keutamaan iaitu Kesedaran, Akses dan Penerimagunaan (3A) bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat akses kepada pengetahuan, kemahiran serta teknologi digital.

“Pendekatan itu membolehkan pembelajaran AI dan digital dibawa kepada masyarakat menerusi laluan yang lebih mudah diakses serta fleksibel.

“Menerusi Pas Pembelajaran Global, rakyat bakal mendapat akses kepada lebih 16,000 kursus dan pensijilan di Coursera bermula 16 September ini, dengan 25,000 rakyat Malaysia ditawarkan penyertaan setiap tiga bulan,” katanya.

Setiap peserta akan menerima akses percuma selama tiga bulan yang dibiayai sepenuhnya kerajaan.

Selain itu, ‘AI Builders Hub’ akan diperkenalkan mulai Oktober ini bagi membolehkan rakyat mengaplikasikan pengetahuan, bereksperimen dengan AI serta membangunkan penyelesaian praktikal sendiri.

Gobind berkata, matlamatnya adalah untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia beralih daripada sekadar mempelajari dan menggunakan teknologi kepada keupayaan mencipta dengan teknologi, seterusnya menghasilkan penyelesaian tempatan.

Dalam pada itu, sehingga 100,000 rakyat Malaysia berusia antara 18 hingga 30 tahun akan menerima akses percuma selama tiga bulan kepada peralatan AI terkemuka mulai 31 Ogos ini menerusi Rakyat Digital, selepas melengkapkan modul pembelajaran yang ditetapkan.

Katanya, pendekatan berkenaan penting dalam melahirkan lebih ramai ‘AI Builders’, selain menyediakan ruang kepada rakyat untuk belajar, bereksperimen dan mengaplikasikan pengetahuan dalam situasi sebenar.

“Program ini akan memberi peluang secara praktikal kepada bakal AI Builders untuk mempelajari cara membangunkan dengan AI, menggunakan peralatan AI, menangani cabaran dunia sebenar dan menterjemahkan idea kepada penyelesaian praktikal,” katanya ketika berucap pada acara AI Malaysia Takeover 2026 di The Campus, Ampang, hari ini.

Gobind memaklumkan kejayaan Malaysia menjadi Negara AI tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah platform atau program yang dilancarkan, sebaliknya melalui impaknya kepada rakyat termasuk kemahiran yang diperoleh, penyelesaian yang dibangunkan serta nilai yang disumbangkan kepada negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.