Perbahasan RCI Tabung Haji medan ketelusan tadbir urus demi kepentingan awam

Persidangan khas Dewan Rakyat berhubung laporan RCI Lembaga Tabung Haji berlangsung secara terus tanpa rehat/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Pembentangan dan perbahasan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) di Dewan Rakyat dilihat sebagai pentas penting demi kepentingan awam dan ketelusan tadbir urus.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perbahasan terbuka membolehkan Ahli Parlimen meneliti kelemahan dan salah urus secara matang untuk rekod rasmi.
  • Perbahasan menjadi titik tolak pengukuhan kerangka tadbir urus yang lebih mampan.
  • Segala kelemahan perlu ditangani segera melalui penambahbaikan berterusan dan tindakan tegas terhadap pihak bertanggungjawab.
  • Institusi Islam seperti TH mesti bebas daripada campur tangan politik, dengan fokus melindungi hak dan kepentingan pendeposit.

Sesi terbuka itu bukan sahaja memberi ruang kepada Ahli Parlimen untuk meneliti kelemahan dan salah urus lalu secara matang, malah menjadi titik tolak kepada pengukuhan kerangka tadbir urus yang lebih mampan.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, perbahasan secara terbuka amat penting bagi memastikan setiap pandangan dan cadangan direkodkan secara rasmi demi kepentingan rakyat.

“Suka atau tidak, inilah ruang terbaik untuk kita bahaskan isu rakyat secara mendalam dan menyeluruh supaya direkodkan,” katanya.

Pandangan itu turut disokong Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh yang melihat pembentangan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sebagai peluang terbaik untuk memperkemas tadbir urus institusi berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, segala kelemahan yang dikenal pasti perlu ditangani segera menerusi penambahbaikan berterusan serta tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab.

“Mana yang kurang dan boleh ditampung, kita tambah baik. Mana yang memerlukan tindakan tegas, ia juga perlu diambil,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Klang, V. Ganabatirau mengingatkan agar institusi Islam teras seperti TH sentiasa bebas daripada sebarang campur tangan politik demi memelihara kepercayaan rakyat.

Memuji ketelusan laporan RCI yang dibentangkan, beliau menggesa agar fokus utama diberi kepada perlindungan hak dan kepentingan pendeposit.

“Saya percaya institusi sebegini patut bersih daripada segala campur tangan, terutamanya politik. Isu ini tidak patut dijadikan wadah politik, sebaliknya keutamaan mesti diberikan kepada kepentingan rakyat,” katanya.

Persidangan khas Dewan Rakyat berhubung laporan RCI Lembaga Tabung Haji berlangsung secara terus tanpa rehat.

Seramai 37 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan, dengan Pengerusi Backbenchers diperuntukkan 15 minit, manakala pembahas lain diberikan masa 10 minit setiap seorang.

Sesi perbahasan kemudiannya disusuli jawapan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.