fb fb fb fb fb

Portal Jom Lapor diperkenal, perkasa penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 19 Disember- Laman sesawang Jom Lapor diperkenal bagi memperkukuh penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang berkuat kuasa 1 Oktober lalu.

Platform itu membolehkan laporan dibuat berkait kesalahan produk dan aktiviti merokok dengan lebih mudah dan mesra pengguna.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata ia bertujuan untuk memastikan undang-undang dilaksana dengan lebih berkesan dan menyeluruh.

Setiap aduan yang dibuat melalui Jom Lapor akan melibatkan kerjasama antara kementerian dan agensi penguat kuasa seperti KKM, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menerusi pendekatan, pengemblengan seluruh tenaga rakyat," kata Dr. Dzulkefly, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis pelancaran laman sesawang itu di Kompleks Kejiranan Presint 16, Putrajaya.

Antara kesalahan yang boleh dilaporkan adalah pengiklanan atau promosi produk merokok, penjualan di kawasan terlarang seperti institusi pendidikan dan pasar jualan serta penjualan kepada Orang Belum Dewasa (OBD).

Selain itu, turut dilengkapi dengan JomQuit, yang membantu perokok berhenti merokok dan program Jom Sihat, yang mendidik masyarakat tentang bahaya merokok, khususnya pelajar sekolah.

Sementara itu, sebanyak 5,662 kompaun bagi kesalahan larangan merokok yang melanggar Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dikeluarkan sejak 1 Oktober lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata ia melibatkan kompaun sehingga berjumlah RM1.37 juta.

Kompaun dikeluarkan untuk penjualan produk merokok di kawasan larangan, pengiklanan dan promosi produk secara tidak sah serta penjualan kepada individu di bawah umur 18 tahun atau Orang Belum Dewasa (OBD).

Selain itu, penjualan rokok secara dalam talian atau melalui mesin layan diri turut menjadi fokus kementerian dalam penguatkuasaan akta ini.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM