Politik matang perlu terus dibudayakan demi kesejahteraan rakyat – Pakar

Dr G. Manimaran/RTM

KUALA LUMPUR, 12 Julai- Politik yang matang dan berhemah perlu terus dibudayakan dalam landskap politik negara bagi memastikan tumpuan diberikan kepada kepentingan rakyat, kata penganalisis politik, Dr G. Manimaran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemimpin perlu menjadi teladan, amalkan politik harmoni dan hormati perbezaan pandangan.
  • Perkasakan literasi politik dan bimbing pengundi muda supaya faham peranan serta proses demokrasi.
  • Terjemahkan mandat rakyat kepada dasar berkesan dan laksanakan janji untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata pemimpin politik perlu menjadi teladan kepada generasi muda dengan mengamalkan budaya politik yang harmoni serta menghormati perbezaan pandangan demi memperkukuh sistem demokrasi negara.

Menurutnya, usaha meningkatkan literasi politik juga wajar diperkasakan supaya pengundi muda lebih memahami peranan dan tanggungjawab mereka dalam proses demokrasi.

Katanya, pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik serta penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun mempercepatkan kemunculan generasi baharu dalam landskap politik negara.

“Dalam ekosistem pilihan raya dan landskap politik, generasi baharu pengundi akan muncul kira-kira setiap 15 tahun. Pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik serta penurunan umur mengundi kepada 18 tahun menjadikan kemunculan pengundi muda berlaku dengan lebih pantas.

“Sebelum ini, setiap tiga kitaran pilihan raya biasanya akan menyaksikan kemunculan satu generasi pengundi muda. Sebab itu parti politik lazimnya menampilkan kira-kira 30 peratus muka baharu sebagai calon pada setiap pilihan raya.

“Namun, perkara paling penting ialah bagaimana generasi muda ini dibawa bersama, diberi pendedahan, dididik dan dibimbing supaya memahami politik serta proses pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, Kota Media, di sini.

Mengulas lanjut, Dr G. Manimaran berkata tumpuan selepas sesuatu pilihan raya seharusnya diberikan kepada usaha menterjemahkan mandat rakyat kepada pelaksanaan dasar yang lebih berkesan serta memberi manfaat kepada masyarakat.

Menurut beliau, kerajaan yang dipilih perlu memastikan segala janji yang ditawarkan kepada rakyat dapat dilaksanakan sepanjang tempoh pentadbiran.

“Yang penting ialah bagaimana mandat yang diberikan rakyat selepas pilihan raya diterjemahkan kepada tindakan dan dasar yang memberi manfaat kepada mereka. Rakyat ialah penentu kepada pembentukan kerajaan melalui undi yang diberikan.

“Pilihan raya akan datang setiap empat atau lima tahun, tetapi keutamaan ialah memastikan segala janji dan mandat rakyat dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti hidup mereka sepanjang tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.