
KUANTAN, 13 Ogos – Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) menawarkan program pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makanan dan Ijazah Sarjana Muda Logistik seawal September 2027.
- Peranan POLISAS sebagai Politeknik Premier memperluas akses pendidikan tinggi berteraskan TVET dan memenuhi keperluan industri.
- Proses akreditasi MQA dan badan berkaitan sedang dijalankan; pendaftaran pelajar dijangka dibuka Jun tahun hadapan.
- Inisiatif melibatkan 13 program Ijazah Sarjana Muda di lima politeknik untuk memenuhi keperluan tenaga profesional dan sasaran 60,000 jurutera menjelang 2030.
Penawaran program berkenaan mencerminkan peranan POLISAS sebagai Politeknik Premier dalam memperluas akses pendidikan tinggi berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Shamsuri Abdullah berkata, penawaran tersebut memperkukuh kedudukannya sebagai institusi yang melahirkan tenaga berkemahiran tinggi sejajar keperluan industri.
“Proses mendapatkan akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta badan akreditasi berkaitan bidang pengajian sedang dilaksanakan sebelum program berkenaan ditawarkan. Pendaftaran pelajar akan dibuka seawal Jun tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun POLISAS yang disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Dalam pada itu Dr Shamsuri menambah, sebanyak 13 program pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda bakal ditawarkan di lima Politeknik, termasuk POLISAS, seawal September tahun depan.
Politeknik tersebut adalah Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Jitra, Politeknik Port Dickson, Politeknik Merlimau dan Politeknik Kota Bharu.
“Usaha itu turut mengambil kira keperluan negara terhadap tenaga profesional dan berkemahiran tinggi, termasuk sasaran memenuhi permintaan bagi melahirkan 60,000 jurutera menjelang 2030,” ujarnya.
Sebanyak 108,000 pelajar kini berada dalam sistem Politeknik dan Kolej Komuniti, yang menjadi antara penyumbang terbesar dari segi kemasukan pelajar lepasan SPM ke aliran TVET.