fb fb fb fb fb

382 air ketum dirampas, lima lelaki Orang Asli ditahan

FOTO HIASAN

KUANTAN, 2 November - Lima lelaki Orang Asli ditahan dan 382 bungkus plastik mengandungi cecair disyaki air ketum dirampas, di Kampung Orang Asli Pos Pantos, Kuala Medang di Kuala Lipis, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Lipis Superitenden Azli Mohd Noor dalam satu kenyataan berkata, pasukannya daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis menerusi Op Tapis menahan kesemua lelaki berkenaan di belakang sebuah rumah sekitar pukul 1.30 pagi.

Hasil pemeriksaan, pihaknya menemukan 382 bungkusan plastik mengandungi cecair kehijauan disyaki air ketum bersama-sama peralatan memasak iaitu tong gas, periuk dan dapur, kesemuanya dianggar bernilai RM3,820.

"Siasatan awal mendapati kesemua lelaki yang berusia antara 25 dan 35 tahun itu memperoleh bekalan daripada seorang lelaki Orang Asli dikenali sebagai “Bos” yang menetap di Chenderong Balai, Perak.

"Kali terakhir mereka mengambil bekalan daun ketum pada semalam dengan sebanyak 10 kilogram. Mereka didapati telah memproses dan menjual air ketum berkenaan hampir tiga bulan kepada masyarakat Orang Asli,” katanya.

Azli berkata kesemua lelaki itu disiasat lanjut mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

TETITIA YUSOFF