PM ziarah Syeikh Abdul Aziz, kongsi pesanan pelihara turath

Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) bersama Ulama Besar Mesir Syeikh Abdul Aziz al-Syahawi

KUALA LUMPUR, 4 September – Pemeliharaan khazanah turath perlu diteruskan selain memanfaatkan teknologi baharu bagi memastikan warisan keilmuan Islam dapat didokumentasi dan dilestarikan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Syeikh Abdul Aziz menyampaikan pesanan kepada Perdana Menteri semasa kunjungan di Nasyrul Quran, Putrajaya.
  • Beliau menekankan kekuatan isnad dan kesinambungan tradisi ilmu yang dipelihara turun-temurun di al-Azhar.
  • Syeikh berasal dari al-Mahallah al-Kubra, Mesir dan terkenal sebagai ulama Mazhab Syafi‘iyyah serta pengajar di al-Azhar.
  • Perdana Menteri memetik pesanan Imam al-Syafie tentang kesungguhan menuntut ilmu dan mendoakan kesejahteraan serta panjang usia Syeikh.

Pesanan itu disampaikan Ulama Besar Mesir Syeikh Abdul Aziz al-Syahawi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika kunjungan beliau di Nasyrul Quran, Putrajaya, petang tadi.

Perdana Menteri menerusi hantaran Facebook memaklumkan, Syeikh Abdul Aziz turut menekankan kekuatan isnad serta kesinambungan tradisi ilmu sebagai antara keistimewaan al-Azhar yang dipertahankan dari generasi ke generasi.

“Keistimewaan Al-Azhar, katanya, antara lain terletak pada kekuatan isnad dan kesinambungan tradisi ilmu yang dipelihara turun-temurun.

“Pada masa yang sama, teknologi baharu tidak harus ditolak, sebaliknya dimanfaatkan untuk mendokumentasi dan melestarikan khazanah tersebut,” menurut kenyataan itu.

Syeikh Abdul Aziz merupakan alim kelahiran al-Mahallah al-Kubra, al-Gharbiyyah, Mesir dan antara ulama besar Mazhab Syafi‘iyyah di al-Azhar, selain menjadi Syeikh bagi Mashaikh Mazhab Imam al-Syafie serta Syeikh Tariqah Shahawiyyah Burhamiyyah.

Dalam bidang keilmuan, beliau juga merupakan ahli fikah dan pengajar ilmu qiraat di al-Jāmi‘ Al-Azhar yang tekun dengan tradisi talaqqi kitab turath serta mempunyai kekuatan hafazan dalam pelbagai cabang ilmu agama, hadis dan qiraat al-Quran.

Dalam hantaran sama, Datuk Seri Anwar turut memetik pesanan Imam al-Syafie mengenai kesungguhan menuntut ilmu: “Barang siapa tidak merasakan kepayahan belajar walau sesaat, akan meneguk pahitnya kejahilan sepanjang hayat.”

Perdana Menteri turut mendoakan agar Syeikh Abdul Aziz dikurniakan kesihatan dan afiat, dipanjangkan usia dalam keberkatan serta ilmu yang dicurahkan menjadi amal jariah yang berterusan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.