
PUTRAJAYA, 4 Sept – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menggalakkan orang awam menyemak syor Kajian Semula Persempadanan (KSP) Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Sarawak Kali Ke-7 secara dalam talian, susulan pengisytiharan darurat di Serian akibat jerebu.
- Maklumat dan syor KSP boleh disemak secara dalam talian melalui laman rasmi SPR; Hotline 082-549420 dan e-mel ksp@spr.gov.my.
- Tempoh pameran syor KSP Sarawak berlangsung dari 1 hingga 30 September.
- Pihak yang layak boleh mengemukakan representasi secara dalam talian jika keadaan menghalang kehadiran fizikal.
- SPR mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan orang awam serta akan memantau dan mengambil langkah bersesuaian.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus dalam kenyataan hari ini berkata, keadaan jerebu yang membahayakan kesihatan dan keselamatan orang awam boleh menyukarkan orang ramai untuk hadir ke lokasi pameran fizikal, terutama di kawasan yang diisytiharkan darurat.
Justeru, orang awam boleh membuat semakan maklumat dan syor KSP secara dalam talian menerusi laman sesawang rasmi SPR atau menghubungi Hotline KSP Sarawak di talian 082-549420 dan e-mel ksp@spr.gov.my untuk sebarang pertanyaan.
Tempoh pameran syor KSP Sarawak berlangsung dari 1 hingga 30 September ini.
Pihak yang layak mengemukakan representasi juga boleh berbuat demikian secara dalam talian sekiranya keadaan jerebu menghalang mereka hadir ke lokasi pameran secara fizikal.
Datuk Khairul berkata, pihaknya mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan orang awam serta akan terus memantau keadaan semasa.
Langkah bersesuaian akan diambil bagi memastikan urusan KSP Sarawak Kali Ke-7 dapat dilaksanakan dengan teratur.