
KUALA LUMPUR, 4 Sept – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek meminta ibu bapa dan warga sekolah supaya mengikuti saluran rasmi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak untuk perkembangan dan makluman terkini susulan keadaan jerebu di negeri itu.
- Jaga kesihatan dan kurangkan aktiviti luar; keselamatan anak-anak dan warga sekolah menjadi keutamaan.
- JPN Sarawak menutup sementara 647 sekolah selama lima hari susulan jerebu dan bacaan IPU tidak sihat.
- Penutupan dari 7 hingga 11 Sept melibatkan PdPR bagi pelajar sekolah rendah dan menengah.
- Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pengisytiharan darurat di daerah Serian ekoran pencemaran udara membahayakan kesihatan.
Beliau menerusi hantaran di Facebook berkata, kesihatan serta keselamatan anak-anak mesti didahulukan dan JPN Sarawak akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa.
“Jaga kesihatan dan kurangkan aktiviti luar sepanjang keadaan jerebu ini. Keselamatan anak-anak dan warga sekolah adalah keutamaan kita,” katanya.
Terdahulu, JPN Sarawak dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 647 sekolah rendah dan menengah di negeri itu ditutup sementara selama lima hari bermula Isnin ini susulan keadaan jerebu yang menyebabkan beberapa lokasi mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.
Penutupan dari 7 hingga 11 Sept itu melibatkan 563 sekolah rendah dengan 108,477 murid dan 84 sekolah menengah membabitkan 90,082 pelajar dengan pelaksanaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengisytiharan darurat di seluruh daerah Serian, Sarawak berikutan keadaan jerebu yang mencapai tahap pencemaran udara yang membahayakan kesihatan dan keselamatan orang ramai. – BERNAMA