fb fb fb fb fb

PM terima kunjungan Biduanita Negara

Datuk Seri Anwar menerima kunjungan hormat daripada Siti dan Khalid yang mewakili Yayasan Nurjiwa di pejabatnya. /Foto FB Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 9 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin, bersama suami beliau, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa yang mewakili Yayasan Nurjiwa hari ini.

Menurut Datuk Seri Anwar dalam satu hantaran di media sosial rasminya, pertemuan itu dimanfaatkan untuk membincangkan pelbagai topik berkaitan pembangunan seni, budaya serta peranan golongan artis dalam membentuk masyarakat yang berilmu dan beretika.

“Pelbagai topik telah dibincangkan, antaranya peranan penting yang boleh dimainkan oleh Siti Nurhaliza dalam mendidik serta menjadi contoh teladan kepada para penghibur dan artis muda masa kini,” jelas beliau.

Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri turut menyatakan pandangan mengenai kepentingan kepelbagaian dalam persembahan seni bagi memastikan ia terus relevan dengan peredaran zaman dan kehendak generasi baharu.

Beliau menekankan bahawa seni bukan sekadar hiburan, tetapi juga wadah penyampaian nilai murni yang mampu menyatukan rakyat pelbagai latar belakang.

Yayasan Nurjiwa yang diasaskan oleh pasangan suami isteri itu turut memainkan peranan aktif dalam bidang kebajikan dan kemanusiaan. Melalui inisiatif seni dan sosial, yayasan tersebut dilihat berpotensi memperkukuh usaha Kerajaan MADANI dalam membina masyarakat yang seimbang dari segi rohani, emosi dan intelektual.

Pertemuan tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan dalam mengiktiraf peranan tokoh seni tanah air dalam membina negara bangsa yang progresif, berbudaya dan bermaruah.

MOHAN CHINNASAMY