fb fb fb fb fb

PM nafi ketandusan calon menteri, tegas pelantikan baharu sedang diurus

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni jemaah sebelum menunaikan solat Jumaat secara berjemaah di Surau Ar-Rahim, Putrajaya / BERNAMA

PUTRAJAYA, 11 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penugasan sementara terhadap dua kementerian bukan disebabkan kerajaan kekurangan calon untuk mengisi kekosongan jawatan menteri.

Sebaliknya, jelas beliau, tugas portfolio Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta Kementerian Ekonomi kini dilaksanakan secara interim oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, sementara menunggu pelantikan menteri baharu.

“Sekarang ini kita minta Amir Hamzah dan Johari Ghani jalankan tugas, kementerian berjalan dengan baik. Tapi terburu-buru kata kita ketandusan calon, itu tidak tepat. Mereka hanya ‘cover’ sementara pelantikan baharu dibuat,” katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan, istilah pemangku tidak digunakan dalam konteks ini, dan proses pentadbiran berjalan seperti biasa tanpa kekeliruan.

Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat bersama lebih 500 jemaah di Surau Ar-Rahim, Presint 9, Putrajaya.

Terdahulu, kekosongan jawatan Menteri Ekonomi berlaku susulan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli yang berkuat kuasa 17 Jun lalu, selepas tewas dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR.

Manakala Nik Nazmi Nik Ahmad pula mengosongkan jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berkuat kuasa 4 Julai lepas.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE