
KUALA LUMPUR, 13 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan kementerian berkaitan melaksanakan sesi libat urus bersama penjaja bagi memastikan bantuan kewangan formal dapat diperluaskan kepada golongan itu.
- Kajian Institut Penyelidikan Khazanah mendapati penyertaan penjaja dalam bantuan kewangan formal masih rendah.
- Hanya lima peratus penjaja menerima bantuan melalui BSN, TEKUN, Amanah Ikhtiar dan program lain.
- Status perniagaan tidak berdaftar dikenal pasti sebagai antara faktor utama halangan akses bantuan.
- Sesi libat urus bersama penjaja diperlukan untuk memahami isu dan memperluas penyaluran bantuan kewangan formal.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil perkara berkenaan dibangkitkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri susulan dapatan kajian Institut Penyelidikan Khazanah yang mendapati kadar penyertaan penjaja dalam program bantuan kewangan formal masih rendah.
Tambahnya, antara faktor yang dikenal pasti ialah status perniagaan yang tidak berdaftar.
“Berdasarkan kajian tersebut, hanya lima peratus penjaja mendapat bantuan melalui Bank Simpanan Nasional, TEKUN, Amanah Ikhtiar dan lain-lain program.
“Perdana Menteri meminta kementerian berkaitan mengadakan sesi libat urus, termasuk bersama penjaja sendiri, bagi memahami isu-isu yang mereka hadapi,” jelas beliau pada Sidang Media Mingguan di Angkasapuri, hari ini.
Tambah beliau, usaha itu penting bagi memastikan bantuan kewangan formal dapat disalurkan dengan lebih meluas kepada golongan penjaja.