PLUS perkenal sistem tol terbuka ANPR di Lebuhraya Utara-Selatan

Foto fail

KUALA LUMPUR, 9 Januari – Sistem Pembayaran Tol Terbuka berasaskan Pengecaman Nombor Plat Automatik atau ANPR diperkenalkan untuk pengguna Lebuhraya Utara-Selatan bagi pemanduan yang lebih lancar.

RINGKASAN BERITA AI
  • PLUS perkenal sistem tol ANPR untuk lancarkan aliran trafik dan kurangkan risiko kemalangan akibat pertukaran lorong saat akhir.
  • Kamera ANPR mengesan nombor plat, memproses bayaran automatik melalui aplikasi JustGO Malaysia yang dihubungkan kepada pembayaran pilihan pengguna.
  • Sistem disokong AI dan pembelajaran mesin, mampu kenal pasti plat dalam pelbagai keadaan serta terus tingkatkan ketepatan.

PLUS Malaysia Bhd dalam kenyataan memaklumkan, inisiatif itu merupakan langkah awal ke arah pelaksanaan sistem “Multi Lane Free Flow” (MLFF) di lebuh raya negara.

Projek yang meliputi jarak 87.7 kilometer itu dijangka dapat melancarkan aliran trafik di plaza tol serta mengurangkan risiko kemalangan akibat pertukaran lorong pada saat akhir.

“Menerusi inisiatif ini, pengguna berdaftar tidak lagi terikat kepada lorong khas tertentu, sebaliknya boleh memasuki dan keluar melalui mana-mana lorong tol di sembilan plaza tol iaitu Hutan Kampung, Alor Setar Utara, Alor Setar Selatan, Pendang, Gurun, Sungai Petani Utara, Sungai Petani Selatan, Bertam dan Sungai Dua,” menurut kenyataan itu.

Menurut PLUS, kamera ANPR yang dipasang di plaza tol akan mengesan nombor plat kenderaan dan memproses bayaran tol secara automatik menerusi aplikasi mudah alih JustGO Malaysia, yang dipautkan kepada kaedah pembayaran pilihan pengguna seperti kad debit atau kredit.

“Disokong oleh kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin, sistem ini direka untuk mengenal pasti kenderaan dalam pelbagai keadaan termasuk cuaca, kelajuan, sudut pandangan serta nombor plat tidak standard, dan akan terus meningkatkan tahap ketepatannya dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu lagi.

Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi JustGO Malaysia, mendaftarkan kenderaan serta menghubungkan kaedah pembayaran, tanpa memerlukan sebarang peranti tambahan atau kos pendahuluan.

Kaedah pembayaran tol sedia ada seperti Touch ’n Go, SmartTAG dan RFID masih boleh digunakan seperti biasa, manakala pilihan pembayaran lain termasuk e-dompet dan perbankan dalam talian akan diperkenalkan dalam tempoh terdekat.