
ALOR SETAR, 22 Jun – Seramai 75 Pengerusi Komuniti MADANI masing-masing melibatkan 58 daripada Kedah dan 17 daripada Perlis menerima Watikah Pengerusi Komuniti MADANI Peringkat Negeri Kedah berlangsung di sini.
- Pelantikan Pengerusi Komuniti MADANI baharu memikul amanah besar dalam menghadapi cabaran landskap informasi masa kini.
- Menekankan peranan menyampaikan maklumat dan dasar kerajaan secara terus, jelas dan sahih kepada masyarakat.
- Berfungsi sebagai jambatan rasmi menghubungkan suara rakyat dengan agenda negara serta menepis kekeliruan di peringkat akar umbi.
- Komuniti MADANI Kedah akan mempergiatkan program bimbingan, taklimat dan aktiviti kemasyarakatan untuk menghayati konsep Malaysia MADANI.
Setiausaha Sekretariat Rakan Strategik Komuniti (STARTKOMPEN) MADANI Kedah, Muhamad Izuwan Iberahim berkata, ia menandakan satu lagi langkah proaktif dalam memperkukuh jaringan komunikasi antara kerajaan dan rakyat di peringkat akar umbi.
Pelantikan barisan Pengerusi Komuniti MADANI yang baharu itu memikul amanah besar, khususnya dalam mendepani cabaran landskap informasi masa kini.
“Pelantikan tersebut memberi fokus utama dalam menyampaikan maklumat dan dasar-dasar kerajaan secara terus, jelas, dan sahih kepada masyarakat.
“Komuniti MADANI bertindak sebagai jambatan rasmi yang menghubungkan suara rakyat dan agenda negara, sekali gus menepis sebarang kekeliruan atau salah faham di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Watikah Pengerusi Komuniti MADANI Peringkat Negeri Kedah di sini yang turut dihadiri Setiausaha Politik kepada Menteri Komunikasi, Izhar Yusof.
Komuniti MADANI Kedah akan mempergiatkan lagi pelbagai program bimbingan, taklimat, dan aktiviti kemasyarakatan bagi memastikan konsep Malaysia MADANI dapat dihayati secara menyeluruh segenap lapisan komuniti khususnya di negeri Kedah.