Revolusi AI : Pembangunan ekosistem digital diperkukuh, bantu sektor terlibat tingkat kemahiran

Pelbagai usaha dipertingkat dan latihan semula kemahiran dilaksana bertujuan memastikan tenaga kerja dapat menyesuaikan diri serta memanfaatkan teknologi baharu

KUALA LUMPUR, 22 Jun – Pembangunan ekosistem digital secara menyeluruh diperkukuh dalam kesiapsiagaan negara berdepan revolusi kecerdasan buatan (AI).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan ambil langkah awal membantu sektor, memastikan Malaysia berada pada landasan mencapai aspirasi Negara AI menjelang 2030.
  • Negara mempunyai asas digital kukuh serta tumpuan kepada pembangunan bakat bagi menyesuaikan tenaga kerja.
  • Kajian FIDE Forum dan Accenture dedahkan jurang antara penggunaan AI dan penciptaan nilai di peringkat perusahaan.
  • Penubuhan Pejabat AI Kebangsaan disertai program latihan semula, pendidikan dan modul AI mudah diakses untuk melahirkan bakat.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo memaklumkan langkah awal diambil kerajaan bagi membantu sektor-sektor terlibat, sekali gus memastikan Malaysia berada pada landasan tepat bagi mencapai aspirasi Negara AI menjelang 2030.

“Malaysia kini mempunyai asas digital yang kukuh dengan kemudahan teknologi, rangkaian internet, pusat data dan keselamatan siber yang semakin baik. Kerajaan juga sedia memberi tumpuan kepada pembangunan bakat bagi memastikan tenaga kerja negara mencukupi untuk menyesuaikan dengan perubahan berkenaan.

“Kini, fokus utama adalah memastikan rakyat juga syarikat memahami serta memanfaatkan teknologi AI dalam kehidupan dan pekerjaan. Pada masa sama, setiap sektor perlu melihat AI yang boleh membantu meningkatkan kecekapan, produktiviti dan daya saing industri masing-masing,”katanya selepas melancarkan laporan FIDE Forum.

Kenyataan beliau susulan laporan penyelidikan baharu oleh FIDE Forum dan Accenture Malaysia yang mendedahkan hanya segelintir institusi berjaya menterjemahkan penggunaan awal AI kepada transformasi menyeluruh di peringkat perusahaan.

Kajian berkenaan mendapati walaupun 71 peratus bank di Malaysia telah melaksanakan sekurang-kurangnya satu aplikasi AI, hanya 17 peratus institusi kewangan berjaya melaksanakan inisiatif AI strategik pada skala besar.

Lebih ketara tiada syarikat insurans yang berjaya melaksanakan inisiatif AI strategik pada skala besar, sekali gus menyerlahkan jurang ketara antara penggunaan AI dan penciptaan nilai di peringkat perusahaan.

“Kita memerlukan sebuah institusi yang mempunyai sumber kewangan, kepakaran dan kapasiti yang mencukupi untuk meneliti perkembangan teknologi secara lebih menyeluruh, sekali gus merangka strategi yang diperlukan bagi memastikan negara sentiasa bersedia menerima dan memanfaatkan teknologi baharu pada masa hadapan,”jelasnya

Gobind turut menyatakan penubuhan Pejabat AI Kebangsaan antara langkah strategik kerajaan menyelaras dasar, pembangunan teknologi serta keperluan industri dalam era kecerdasan buatan.

Beliau turut mengulas kebimbangan mengenai kesan AI terhadap peluang pekerjaan, dengan kerajaan memberi perhatian serius terhadap kesannya kepada pasaran pekerjaan.

“Dalam tempoh 60 bulan akan datang, kerajaan telah mengenal pasti sektor-sektor yang dijangka menerima kesan daripada perkembangan AI. Sehubungan itu, pelbagai usaha dipertingkat dan latihan semula kemahiran dilaksana bagi memastikan tenaga kerja dapat menyesuaikan diri serta memanfaatkan teknologi baharu untuk meningkatkan produktiviti dan memperkukuh kerjaya kumpulan sasar,”katanya.

Selain program peningkatan dan latihan semula kemahiran, kerajaan turut merangka strategi bagi melahirkan bakat baharu melalui institusi pendidikan, latihan kemahiran serta modul pembelajaran AI yang mudah diakses rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.