MPOB perkenal SOP baharu bancian kumbang pendebunga

Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir

MIRI, 22 Jun – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memperkenalkan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi bancian kumbang pendebunga, pengiraan kadar pembentukan buah dan teknik ‘hatch & carry’ bagi membantu meningkatkan produktiviti industri sawit negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • SOP dibangunkan hasil penyelidikan dan perbincangan bersama industri sebagai rujukan sistematik untuk pengurus ladang dan petugas lapangan.
  • Beberapa ladang di Sarawak dan kawasan lain merekodkan kadar pembentukan buah di bawah paras optimum, menjejaskan hasil dan keuntungan.
  • Serangan ulat bungkus masih cabaran utama; kerugian boleh mencapai sehingga 40 peratus dalam dua tahun dan melebihi RM100 juta setahun.
  • MPOB menggalakkan Pengurusan Perosak Bersepadu termasuk kawalan biologi, tanaman bermanfaat, perangkap feromon dan biopestisid mesra alam.

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata SOP tersebut dibangunkan hasil penyelidikan serta perbincangan bersama pemain industri bagi menyediakan rujukan yang lebih sistematik kepada pengurus ladang dan petugas lapangan.

“Langkah itu penting berikutan beberapa ladang sawit di Sarawak dan kawasan lain merekodkan kadar pembentukan buah yang masih berada bawah paras optimum, sekali gus menjejaskan hasil pengeluaran dan keuntungan,” katanya.

Datuk Dr Ahmad Parveez berkata demikian ketika merasmikan Program Tahunan Penyelidikan dan Pembangunan MPOB-SOPPOA 2026: Bengkel Kumbang Pendebunga di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan mengenai ancaman serangan ulat bungkus yang masih menjadi cabaran utama kepada industri sawit negara.

“Serangan serius perosak itu boleh menyebabkan kehilangan hasil sehingga 40 peratus dalam tempoh dua tahun dengan kerugian melebihi RM100 juta setahun di peringkat nasional.

“MPOB terus menggalakkan penggunaan strategi Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM) yang merangkumi kawalan biologi, penggunaan tanaman bermanfaat, sistem perangkap feromon dan biopestisid mesra alam,” katanya lagi.

Program dua hari itu dianjurkan bersama Persatuan Pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak (SOPPOA) dan menghimpunkan pemain industri bagi berkongsi pengetahuan serta amalan terbaik dalam pengurusan pendebungaan dan kawalan perosak ladang sawit.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.