JELI, 8 Jun- Masalah kesihatan dan pekerjaan antara alasan yang diberikan 206 pelatih yang tidak hadir menyertai menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 pada Mei lalu.
Timbalan Menteri Pertahan, Adly Zahari berkata, pihaknya akan membuat penilaian terhadap alasan-alasan yang dikemukakan itu. Beliau berkata, pihaknya juga akan mendapatkan laporan selain mendengar pembentangan jawatankuasa Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) berhubung isu terbabit dan akan mencari jalan penyelesaian.
"Ada beberapa perkara yang kita kenal pasti antaranya aspek melibatkan kesihatan dan juga ada beberapa aspek aspek lain penglibatan pelajar tersebut dalam pekerjaan dan seumpamanya jadi kita akan lihat secara keseluruhan apa alasa yang diberikan yang menyebabkan mereka ini tidak mendaftar kerana kalau mengikut kaedah yang kita gunakan kita bukan sahaja hanya memaklumkan tapi dalam masa yang sama kita sebenarnya berhubung juga dengan anggota ni jadi kita akan dapatkan laporan daripada jawatan kuasa PLKN itu mungkin kita akan lihat pembentangan mereka dan alasan alasan dan kita akan cari penyelesaiannya," katanya pada Program Peduli Veteran Madani di Sekolah Kebangsaan Sungai Rual, Jeli, Kelantan hari ini.
Tambahnya, mereka yang dipanggil sudah terikat dengan akta dan sekiranya gagal melaporkan diri pelatih boleh dikenakan tindakan undang-undang bawah Seksyen 18(1), Akta Latihan Khidmat Negara sekiranya gagal hadir tanpa alasan munasabah atau pembuktian masalah kesihatan yang disahkan pakar perubatan.
Ketika mengulas penglibatan Orang Asli dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Adly berkata, pembabitan mereka setakat ini masih rendah. Sehubungan itu pihaknya akan menggerakkan lebih banyak program kesedaran di perkampungan Orang Asli.
Terdahulu, program itu telah diadakan di Perak dan selepas ini, ia akan tertumpu di Kelantan melibatkan kawasan Orang Asli Gua Musang dan Jeli.
Walaupun tiada sasaran ditetapkan, pihaknya yakin jumlah itu akan meningkat akhir tahun ini jika program kesedaran dilakukan secara berterusan.